
PETALING JAYA: Kerajaan Kedah belum memberi kebenaran penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, kerana penilaian impak alam sekitar (EIA) masih dijalankan, kata Menteri Besar Sanusi Md Nor.
Sanusi berkata, syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberikan lesen penerokaan untuk mengkaji hasil mineral itu dalam proses menyiapkannya sebelum kerajaan membenarkan cari gali.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan bertindak sesuka hati dan hanya membenarkan aktiviti perlombongan mengikut undang-undang dan SOP Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Kejadian sebelum ini adalah kes penerokaan haram oleh pihak tertentu yang sudah dikenakan tindakan.
“Mereka yang curi REE tu memang tidak ada EIA, buat pun secara tidak sah,” katanya menurut Berita Harian.
Pada 4 April, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menasihatkan kerajaan Kedah tidak meluluskan kegiatan perlombongan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.
Presidennya, Meenakshi Raman dipetik berkata, walaupun hal ehwal hutan bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun Putrajaya boleh menasihatkan agar segala dasar berkaitan yang diputuskan peringkat persekutuan digunapakai di negeri. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.