Hari ini hari raya ketiga. Saya percaya anda masih sibuk beraya sepanjang hari ini. Berkumpul seisi keluarga, mengunjungi saudara-mara dan handai-taulan sambil mengimbau kenangan lama di samping berkongsi perkhabaran terkini. Kita duduk dengan kawan sepermainan mengenang zaman sekolah, zaman mandi sungai, mengorat dan bercinta. Kemudian bercerita pula perkembangan terkini di mana kita bekerja, sudah berkahwinkah kita dan berapa anak sekarang. Berborak tentang harga rumah yang kita beli atau tentang anak-anak sudah belajar di universiti mana. Kita gembira dan seronok bercerita. Biasalah!
Dalam kita berborak itu tiba-tiba tajuk pun berubah. Kita bercerita tentang salah seorang adik-beradik kita yang aneh perangainya. Atau kawan yang tak serupa dengan kita perangainya. Tentang kakak kita yang masih membujang tak mahu kahwin sedangkan dia seorang yang berkerjaya tak seperti adik-beradik lain yang dah berderet anak-anak. Atau tentang abang ipar kita yang hanya duduk diam di sudut ruang tamu tidak seperti ipar-duai lain yang periang dan kuat bergurau. Atau adik bongsu kita yang lebih rela duduk di bilik sewanya di bandar, enggan balik kampung. Mereka menjadi bahan perbualan kerana tak sealiran dengan kita. Mereka manusia aneh.
Saya pernah ada dua orang anak perempuan yang dilahirkan dalam keadaan kurang upaya. Keduanya hanya terlantar tidak pandai mengurus diri. Keduanya bergantung kepada saya dan isteri untuk makan, minum, dan segala hal membersihkan diri. Kedatangan hari raya adakalanya membuat kami tersepit antara hendak balik beraya atau tidak. Tidak balik akan dianggap pelik mengapa tidak mahu bergaul dengan sanak-saudara. Sudahlah majlis kenduri-kendara tak datang. Jika balik pula akan bertemu dengan kaum-kerabat yang bertanya soalan bukan-bukan, melantik diri sendiri menjadi penasihat tak bertauliah.
Keadaan ini membuat kami serba-salah. Nak balik atau tidak. Jika kami balik keselesaan anak-anak istimewa kami yang terlantar pula akan terganggu. Mereka terdedah dengan jangkitan penyakit. Akibatnya kami juga yang makan hati kena jaga mereka di wad seminggu. Yang mengata kami malas balik dan tak bergaul itu ziarah pun tidak.
Jadi, macam mana dengan orang-orang yang dianggap pelik ini? Apakah perlu kita menyibuk jika kakak kita masih membujang? Wajarkah kita masuk campur menyuruh anak saudara lekas-lekas berusaha mendapat zuriat kerana sudah sepuluh tahun berkahwin masih tak ada cahaya mata? Betulkah kita bersungguh-sungguh nak membantu atau kita sengaja bercerita sekadar untuk berbasa-basi sebab tak ada apa nak cerita? Benarkah ipar kita yang pendiam itu sombong orangnya hanya kerana dia ‘tak boleh masuk’ dengan topik perbualan kita yang ramai-ramai?
Mari kita tukar posisi pula. Bagaimana pula kalau kita berada dalam kalangan majoritinya seperti mereka? Tentu kita pula dianggap aneh. Bagaimana kita yang peramah berhari raya di rumah keluarga yang semuanya pendiam belaka, di mana siapa yang banyak cakap pula dianggap aneh lagi mengganggu? Atau dalam keluarga hanya kita sahaja yang beranak-pinak manakala adik-beradik bujang belaka? Hendak tak hendak kita terpaksa menyesuaikan diri dengan mereka. Begitulah mereka yang mengharapkan kita boleh terbuka menerima mereka seadanya.
Psikologinya, manusia itu kompleks sifatnya. Kita wajar memahami yang bukan semua manusia itu sama. Masing-masing ada kehidupan mereka. Mungkin mereka yang kita kategorikan pelik ini suka pada hari raya tetapi mereka menyampah dengan watak-watak yang mengganggu mereka hanya kerana tidak sama dengan majoriti. Saya juga adakalanya terjebak dengan sikap yang sama. Mengutuk mereka yang pelik. Tetapi akhirnya saya mesti sedar.
Saya sentiasa sedar bahawa ‘utopia’ itu sifatnya khayal dan kesempurnaan memang tak pernah wujud dalam kehidupan di dunia ini. Sebab itu kita selalu berfantasi “dalam dunia yang lain…bla…bla…”, dan kita sentiasa meletakkan harapan kita itu wujud di dunia yang lain. Hakikatnya impian kita itu memang hanya ilusi. Kitalah manusia pelik jika kita beranggapan semua orang harus sama seperti kita. Bak kata legenda Kurt Cobain, “orang tertawakan aku kerana aku lain manakala aku ketawakan mereka kerana mereka itu sama.” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.