KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) muncul institusi zakat pertama di dunia menampilkan inovasi kaedah pembayaran zakat menggunakan teknologi komunikasi medan dekat (NFC).
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman, berkata pihaknya sedang menjalankan ujian rintis bagi memperluas kaedah pembayaran itu melalui usaha sama dengan Fass Payment Solutions Sdn Bhd (Fasspay) di tiga lokasi di ibu negara iaitu Masjid As-Syakirin KLCC, Jalan Masjid India, dan Ibu Pejabat PPZ-MAIWP.
Beliau berkata, melalui kaedah itu, pembayar zakat hanya perlu menyentuh kad kredit atau debit mereka pada telefon bimbit amil yang dilengkapi aplikasi FassTap yang dimajukan Fasspay untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Dengan adanya FassTap, ia lebih cepat, cekap dan selamat kerana kita tidak perlu menunggu lama untuk membayar zakat dan akan mendapat resit digital secara e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Dalam tempoh ujian rintis ini, kita akan tengok jika ada ruang untuk penambahbaikan dan kita akan laksanakannya secepat mungkin sekiranya aplikasi ini berjaya,” katanya menurut Bernama.
Menurut Hakim, PPZ-MAIWP menjangkakan kaedah pembayaran itu bukan sahaja akan menggalakkan pembayaran zakat fitrah, malah lebih ramai dijangka menunaikan zakat harta serta membuat sumbangan wakaf tunai.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga kini pihaknya mengutip RM1.8 juta pembayaran zakat fitrah yang melibatkan 52,632 pembayar secara dalam talian.
Beliau berkata, PPZ-MAIWP menjangkakan sasaran RM13.8 juta akan tercapai sebelum berakhir Ramadan apabila data pembayaran secara tunai kepada 921 amil di Wilayah Persekutuan dikumpulkan.
“Saya nak galakkan semua (pembayar zakat) agar tampil menunaikan zakat secepat mungkin, janganlah bayar pada saat akhir,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.