Beberapa hari lalu tular sebuah video yang menjadi perbualan hangat netizen seluruh dunia memaparkan seekor kucing memanjat bahu seorang imam yang sedang solat tarawih. Imam Walid Mehsas dalam khusyuk memimpin solat masih kelihatan tenang menyantuni kucing tersebut tanpa rasa terganggu, membuatkan netizen berasa sungguh lega dan amat terhibur.
Lelaki memelihara kucing bukanlah perkara baharu lagi aneh. Ramai! Kita sedia maklum kucing merupakan haiwan yang paling dekat dengan manusia. Sifat kucing yang manja sering dikaitkan dengan wanita namun tidak sedikit lelaki yang menyayangi kucing dan memeliharanya dengan penuh kasih sayang.
Babak ikonik Don Corleone (lakonan Marlon Brando) memegang sambil mengelus lembut seekor kucing dalam filem The Godfather (arahan Francis Ford Coppola 1972) amat melekat di hati penonton filem tersebut. Meskipun asalnya adegan tersebut tiada di dalam skrip, kebetulan sahaja kucing tersebut berkeliaran di set, pengarahnya bijak menggunakan kesempatan tersebut untuk menjadikan kucing tersebut “berlakon” sama. Ia telah membuka tafsiran lebih besar oleh penonton yang membuat penilaian tentang sisi lain sikap ketua mafia itu di mana dalam sifat hati keringnya yang keras dan ganas, cukup berpengaruh sehingga berjaya membina empayar perniagaan dan menguasai wilayah tertentu serta terlibat dengan jenayah, masih ada sisi lembutnya dengan membelai kucing.
Kucing tetap “ada” kisahnya dalam masyarakat Islam. Diriwayatkan juga ada sahabat Rasulullah SAW bernama Abdul Rahman digelar sebagai Bapa Kucing atau Abu Hurairah kerana dia sangat kasihkan kucing. Abu Hurairah terkenal sebagai antara perawi hadis Rasulullah SAW yang terbanyak.
Benarkah lelaki yang sangat sayangkan kucing boleh kita kenal sifat dan keperibadian mereka? Adakah lelaki yang menyayangi kucing lebih bertanggungjawab? Adakah lelaki pencinta kucing mempunyai jiwa yang lembut dan kurang sifat jantannya?
Seumur hidup saya, saya tidak pernah pedulikan kucing. Tidak suka tetapi tidak pula saya membenci. Jasa paling baik yang saya boleh buat untuk kucing ialah apabila makan di restoran, jika ada kucing datang mendekati, saya akan berikan sedikit lauk yang saya makan. Ikhlas, tapi cukup apa yang ada sahajalah. Tidak lebih. Tetapi segalanya berubah 360 darjah apabila suatu petang saya dan isteri ternampak tiga ekor anak kucing terbiar di tepi semak 1km menuju ke rumah saya. Ibunya tiada. Isteri saya berasa kasihan lalu kami mengambil ketiganya masuk ke dalam kereta. Kami memberi makan, minum dan membersihkan anak-anak kucing ini. Dua hari kemudian kawan kami yang tahu kami membela kucing ini telah berjaya mengambil pula seekor kucing betina dewasa di tempat yang sama kami temui anak-anak kucing itu. Dia percaya itulah ibunya. Benar, apabila ditemukan ternyata tiga ekor anak kucing tersebut berlari mendapatkan ibu mereka. Si ibu pula terus rebahkan diri memberi ruang untuk tiga anaknya menyusu. Melihatkan peristiwa “Jejak Kasih” itu saya dan isteri pun mengambil keputusan untuk terus membela keluarga kucing ini.
Keajaiban berlaku. Entah gerangan apa telah menjadikan saya semakin menyayangi kucing-kucing ini. Masing-masing diberikan nama, dibawa ke klinik dan diberikan makanan yang baik. Saya yang tak pernah fikir langsung fasal kucing tiba-tiba tidur bersama mereka. Enam bulan kemudian anak-anak kucing ini jadi dewasa. Dek kerana terlalu sayang, saya menjadi sugul apabila si jantan yang seekor itu berhijrah meninggalkan rumah dan tidak pulang-pulang lagi sehingga hari ini. Saya tidak boleh terima perpisahan ini meskipun telah diberitahu oleh kawan saya yang sudah masak dengan perangai kucing terutama kucing kampung, sampai masa mereka akan lari mencari pasangan. Saya tidak percaya. Takkanlah kucing yang dijaga penuh kasih sayang sanggup lari. Akhirnya saya akui kebenaran kata-kata kawan saya itu. Mulai saat itu saya tidak lagi meletakkan sehabisnya perasaan sayang saya kepada kucing-kucing belaan saya kerana sampai masa apabila mereka tiada, saya tidak lagi bersedih. Saya tanamkan perasaan bahawa tugas saya adalah memelihara kucing-kucing ini dengan baik, menjaga makan minum. Andai kata suatu hari ada yang hendak meninggalkan saya, saya pasrah aja.
Keazaman saya itu sebenarnya belum cukup syarat lagi. Kecekalan saya pun diuji lagi. Untuk makluman, si ibu kucing tersebut sampai masa “menggatalnya” mulalah hilang sekejap dan tak lama kemudian beranak lagi. Begitu juga dua anak betinanya yang sudah dewasa itu. Bunting dan beranak. Maka kucing-kucing belaan saya menjadi semakin banyak. Dalam tempoh tiga tahun kami sudah ada lebih dua puluh ekor kucing hanya dari satu keturunan ini kerana saya tidak mengambil mana-mana kucing lain lagi. Dari keturunan ini ia membiak. Kami semakin sayang kucing. Hidup saya dan isteri adalah tentang kucing, kucing dan kucing. Saya semakin selesa bersama kucing berbanding bersama manusia yang menyakitkan hati. Ha! Ha! Ha! Cerita dan borak saya pun hanya perihal kucing sahaja. Mungkin ada kawan-kawan pun naik bosan sebab saya suka bersembang tentang kucing sahaja dan bukan lagi berkenaan hal-hal politik semasa yang entah apa-apa ataupun kisah kahwin cerai para artis yang tak habis-habis.
Dalam keadaan saya kata saya sudah sedia menerima kenyataan jika ada kucing jantan saya yang lari berhijrah untuk mencari pasangan, saya perlu melalui satu ujian lagi. Kerana saya tinggal di kampung, kucing-kucing saya bebas berkeliaran di halaman rumah. Adakalanya saya temui kucing saya sudahpun mati di luar pagar. Mungkin dipatuk ular atau digigit binatang berbisa kerana kucing-kucing saya juga bertindak sebagai penjaga halaman rumah. Kerap juga kucing-kucing saya membunuh anak biawak, mengkarung, katak dan lipan. Jadi saya percaya mereka telah mati selepas bertarung dengan musuh yang mahu masuk ke halaman rumah kami. Pernah juga seekor kucing saya menggelepar di ribaan saya sebelum mati akibat terminum air lopak yang mungkin bercampur racun rumput di sekitar kejiranan. Saya sangat sedih sehingga pernah gagal mengawal air mata ketika mencangkul tanah untuk mengebumikan kucing-kucing saya. Inilah ujian terbesar yang saya kemudiannya faham bahawasanya saya mesti bersedia menerima apa juga takdir sebuah kehilangan. Bukan kucing sahaja, manusia pun juga. Dalam kita menerima dan menyambut kelahiran kesayangan kita, jangan kita lupa kita pasti akan kehilangan juga yang kita sayang.
Apa pandangan wanita terhadap lelaki yang sangat sayang kepada kucing? Apa pula pandangan lelaki terhadap lelaki lain yang terlalu cintakan kucing? Berbagai kaji selidik dijalankan dan tetap ada pro dan kontranya mengikut latar budaya dan adat. Tetapi tidak kiralah sama ada lelaki mahu juga wanita, apabila menyayangi binatang yang manja seperti kucing pasti ada sesuatu di dalam diri mereka yang misteri. Kini saya masih lagi memelihara kucing. Jika ditanya apakah saya masih berminat dengan politik, saya jawab saya kini mengamalkan politik kucing iaitu kalau nak jilat, jilat badan sendiri sahaja. He! He! He! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.