PETALING JAYA: Majikan akan menyesuaikan keperluan perniagaan dengan mengutamakan kemahiran yang tidak boleh diganti robot, ketika tenaga kerja mendakap teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPt dan Google bagi memperolehi kelebihan dalam dunia pekerjaan, menurut pakar.
Sebagai ganti kepada penggunaan teknologi itu, Pengarah Urusan JobStreet Malaysia, Vic Sithasanan, berkata majikan akan mengutamakan kemahiran bertanya serta menanggapi dan menyatukan maklumat daripada pelbagai sumber, atau keterkaitan dengan teknologi yang tidak boleh menggantikan “sentuhan manusia”.
“Sementara ramai orang gementar menunggu dunia bergantung sepenuhnya pada AI dalam beberapa dekad akan datang, akan sentiasa ada keperluan tenaga manusia memandu automasi ini,” katanya kepada FMT, ketika ditanya tentang kesan teknologi berasaskan AI seperti ChatGPT pada pencarian pekerjaan.
Katanya lagi, mungkin banyak pekerjaan akan ditiadakan pada masa depan kerana digantikan dengan AI, namun pencari kerja dan pekerja, malah majikan juga boleh meningkatkan potensi masing-masing bagi memastikan kerjaya mereka sentiasa terkini dan dalam permintaan.
“Tenaga kerja dunia mungkin menyatukan manusia dan mesin, tetapi dunia yang didominasi robot belum boleh dikatakan suatu realiti,” tambahnya.
Sithasanan berkata pihaknya maklum tentang kebimbangan orang ramai terhadap kemunculan AI, kerana laporan ketiga Decoding Global Talent oleh JobStreet menunjukkan bahawa pada 2021, 46% pekerja usia 20-an dan 41% pekerja usia 30-an khuatir teknologi akan menyebabkan mereka hilang pekerjaan.
Beliau menyenaraikan contoh pekerjaan yang mungkin akan digantikan dengan AI, seperti kerja-kerja pentadbiran undang-undang, simpan kira dan pemasukan data, penterjemah, pengurus media sosial, pustakawan, pengadil sukan, ejen pelancongan, ejen pusat panggilan, pekerja pos, dan pemandu teksi.
“Sebelum ancaman Covid-19 lagi, orang ramai risau memikirkan keselamatan pekerjaan mereka kerana automasi. Hampir setiap jenis pekerja mempunyai kebimbangan masing-masing … daripada bidang media hingga teknologi maklumat, kebimbangan terhadap automasi amat tinggi – terutama pekerja dengan kerja yang berulang-ulang.”
Dibangunkan oleh OpenAI, sebuah syarikat yang disokong gergasi teknologi AS, Microsoft, ChatGPT menjadi aplikasi pengguna paling laris di dunia dua bulan selepas pelancarannya, dengan lebih 100 juta pengguna setakat Januari sahaja. Google dan Baidu dari China turut melancarkan aplikasi serupa iaitu Bard dan Ernie, menurut laporan Al Jazeera.
Media AS, CNBC, memetik tinjauan laman kerjaya Resume Builder pula melaporkan, ChatGPT menjadi kemahiran yang dalam permintaan di negara itu, dengan 90% daripada 1,000 pemilik perniagaan berkata ia menjadi kelebihan bagi pencari kerja manakala 49% syarikat sudah memanfaatkan ChatGPT, kebanyakannya untuk menulis kod, mencipta kandungan (content), merangka kesimpulan mesyuarat atau dokumen dalaman, dan membantu khidmat pelanggan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.