Media yang selalu ‘salah lapor’. Atau lebih sedap disebut ‘laporan di luar konteks’. Tetapi jangan pula tuduh ia ‘laporan palsu’ atau ‘fitnah’ apabila ia tidak sealiran dengan agenda.
Janganlah terlalu “defensive” ketika menangani sesuatu isu dengan media, cukup sekadar menafikan apa yang dikira tidak tepat, kecuali ada tuduhan peribadi tidak berasas.
Laporan media selalunya berasaskan sumber yang boleh dipercayai. Bukan dicedok dari cakap-cakap kosong di kedai kopi. Ulasan-ulasan pula dibuat oleh pakar dalam bidang masing-masing, bukan setahun dua pengalaman.
Jadi sebagai pembaca anda boleh untuk bersetuju atau sebaliknya tetapi bukan buta-buta menuduh ia laporan palsu. Kekalutan ini muncul apabila ada kepentingan politik.
Ketika zaman Tun Dr Mahathir dahulu tiada keributan begini. Kalau laporan tidak betul Tun akan menafikannya dan memberi cerita sebenar. Tiada arahan daripada Pejabat Perdana Menteri untuk mengawal media.
Tun sebenarnya selalu bertemu dengan ketua editor di akhir lawatan ke luar negara. Macam “briefing plus tea”. Tun memberitahu perkembangan terkini dalam kerajaan dan politik. Ini “off-the-record session” dengan wartawan. Jadi kita dapat membaca situasi sebelum menulis.
Kita tidak diarah dengan “dos and don’ts” tetapi lebih faham dengan apa yang sesuai untuk diulas.
Di zaman Facebook, YouTube, dan TikTok saban hari orang menghentam pemimpin parti dan pak menteri. Ngeri mendengarnya. Tuduhannya serius. Serangan peribadi mengaibkan. Kalau nak dikawal setiap laporan itu, boleh jadi zombi kita.
Laporan-laporan begini selalu tidak tahan lama. Tinggal asap selalunya. Kenapa ada pemimpin yang mahu tersentak?
Kenali editor. Buat sedikit PR. Kena “latte” atau “long black” atau teh tarik. Tak payah pun nak muncung-muncung, “settle” perihal media. Jangan cepat buat tuduhan ada media yang tidak “friendly” dengan kita lalu ada usaha untuk memberi gambaran negatif terhadap kepimpinan kita.
Tidak perlu pun ada arahan itu dan ini. Semuanya akan berada “in place” kalau kita ada hubungan baik dengan media. Tidak perlu menggertak ‘awak dari media mana?’ sedangkan soalan tidak terjawab.
Pak menteri marah-marah kerana dia syak ada pihak mahu menjatuhkannya atau partinya. Media cuma melihat gelagat ini sebagai mahu mengelak menjawab soalan yang diajukan dengan menyalahkan media.
Ada dua bekas menteri, kedua-duanya telah meninggalkan kita. Samy Vellu dan Lim Kheng Yaik. Tak ada wartawan yang tidak pernah kena marah oleh dua menteri “senior” ini. Kalau yang belum biasa dengan karektor kedua-duanya, pasti mereka ingat berlaku pertengkaran, walaupun sesi soal jawab agak panas tetapi “friendly”.
Ada satu karektor menteri besar yang selalu menjawab, “Nanti kita timbang” atau “nanti kita tengok” untuk mengelak daripada disoal lebih banyak lagi.
Mungkin pak menteri baharu boleh belajar daripada mereka ini. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.