`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 27, 2023

Mencari jawapan soalan terpenting

 

Pada 2006, Altantuya Shaariibuu, didapati mati dibunuh dengan kejam. Kes itu menggemparkan negara. Ada nama-nama besar dikaitkan. Dua anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar dan Azilah Hadri, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh warga Mongolia itu. Pada 2009, keduanya disabit kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dijatuhi hukuman mati.

Namun motif pembunuhan tidak diketahui. Maka timbulah pelbagai persoalan. Umpamanya adakah Sirul dan Azilah bertindak sendirian? Apa yang mendorong mereka membunuh Altantuya? Adakah mereka diarah melakukan pembunuhan itu? Jika ya, siapa yang memberi arahan? Semuanya belum terjawab sehingga ke hari ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Sirul dan Azilah mengemukakan rayuan dan pada 2013 Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka. Lalu kedua-duanya dibebaskan dan dilepaskan.

Bagaimanapun pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati Sirul dan Azilah bersalah membunuh Altantuya. Ertinya kedua-dua tetap dijatuhi hukuman mati.

Azilah kini dilapor ada di penjara Kajang menunggu detik hukuman dilaksanakan. Sirul pula berada Australia. Ada dua versi berhubung pemergiannya ke Australia.

Ada laporan menyebut selepas dibebaskan, Sirul pergi melancong ke Australia. Dia ditahan imigresen negara itu apabila visa dan pasportnya tamat tempoh. Dia sekarang berada di Pusat Tahanan Villawood, Sydney.

Menurut satu lagi laporan, Sirul dikata melarikan diri ke Australia pada 2014 ketika dalam jaminan. Ini juga menimbulkan banyak persoalan. Hakikatnya Sirul kini ditahan atas kesalahan imigresen.

Bebarapa pihak mahu Sirul dibawa balik ke tanah air supaya siasatan dijalankan atau dibawa semula ke mahkamah bersama Azilah agar motif pembunuhan dapat diketahui. Bagaimanapun untuk membawanya pulang bukan mudah.

Ads by Kiosked

Australia seperti umum tahu mempunyai pendirian tersendiri membabitkan ekstradisi. Negara itu tidak membenarkan penghantaran balik orang dalam jagaan mereka jika orang itu berdepan risiko atau ancaman ke atas nyawanya.

Oleh itu, Sirul hanya boleh dihantar pulang dengan syarat ada akujanji bahawa hukuman mati ke atasnya tidak akan dilaksanakan. Dalam erti kata lain, peguam Australia mesti berpuas hati atau yakin sebaik sahaja Sirul dihantar pulang atas permintaan Malaysia, dia tidak akan berdepan hukuman mati.

Kerajaan Malaysia pada Jun 2022 bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk pada budi bicara mahkamah.

Pada Mac lalu pula, Azalina Othman Said, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan reformasi institusi) memberitahu bahawa Jemaah Menteri bersetuju dengan beberapa dasar baharu dalam usaha pemansuhan hukuman mati mandatori. Tidak perlu saya ulangi kenyataan beliau mengenai dasar baharu yang dimaksudkan.

Yang ingin saya ajukan adakah kes Sirul dan Azilah tertakluk pada dasar berkenaan? Bolehkah pendirian Malaysia sekarang mengenai hukuman mati mandatori digunakan untuk membawa Sirul pulang dari Australia?

Menurut kolumnis FMT, Murray Hunter, dengan tiadanya hukuman mati mandatori, representasi boleh dibuat kepada pihak berkuasa Australia untuk mengatur kepulangan Sirul menerusi proses ekstradisi. Peguam negara juga kata Hunter boleh mengemukakan cadangan agar Sirul dan Azilah menjadi “state witness”.

Ads by Kiosked

Apa pun, kata beliau, sudah masanya untuk mendapatkan semua fakta berhubung kes ini supaya “misteri dan rahsia” boleh ditamatkan “once and for all”. Saya setuju kerana sudah lama kita dihantui teori, spekulasi, dan andaian. Terlalu lama. Masanya sudah tiba untuk mencari noktah. Keluarga Shaariibuu mesti diberi keadilan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.