`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 6, 2023

Najib-Trump: Sama tapi tak serupa

 

Donald Trump mencipta sejarah (for the wrong reasons) pada Selasa 4 April lalu dengan menjadi presiden pertama AS (sama ada bekas presiden atau yang masih pegang jawatan) ditangkap dan dilempar 34 dakwaan pemalsuan catatan perniagaan dan juga terkait dengan kes “wang tutup mulut” pelakon porno, Stormy Daniels.

Saya tidak berhasrat memperincikan setiap tuduhan yang dikenakan ke atas bekas presiden AS berusia 76 tahun itu. Agensi berita antarabangsa sudah menyiarkannya secara menyeluruh. Yang ingin saya ketenggahkan ialah sejak 20 Mac lagi, Trump memberitahu umum beliau menjangka dirinya akan ditangkap. Menulis dalam laman rangkaian sosialnya, Truth Social, Trump mendakwa kebocoran maklumat daripada pejabat peguam daerah Manhattan menunjukkan dirinya akan diangkap pada Selasa, 4 April. Ini boleh dilihat sebagai langkah “pre-emptive” untuk mengurangkan kejutan dalam kalangan para penyokong dan menyediakan mereka menghadapi sebarang kemungkinan. Lantas Trump menggesa penyokongnya melancarkan protes besar-besaran bila tangkapan dilaksanakan.

Apa pun ketika beliau dibawa ke mahkamah di New York pada Selasa lalu, tidak ramai penyokong turun ke jalanan untuk memprotes. Bukan tidak ada tetapi jumlah agak kecil. Mungkin ini mengecewakannya. Yang menarik ialah Trump mendakwa apa yang dilakukan ke atasnya ialah “political prosecution”. Pendakwaan politik. Juga menarik Trump pada 15 Nov 2022 mengumumkan menerusi ucapan di hadapan penyokong di estet Mar-a-Lago miliknya di Florida bahawa beliau akan menjadi calon pemilihan presiden AS yang diadakan tahun depan.

Bagi saya jika dilihat kedua-dua aspek iaitu tuduhan “political prosecution” dan “candidacy” pilihan raya presiden AS 2024, beliau mengorak langkah awal memperkuatkan dakwaan beliau dikenakan pendakwaan politik “untuk menhalangnya mendapat semula jawatan presiden. Malah ada dalam kalangan pemimpin parti Republican menegaskan “mereka benar-benar takut akan dia dan mahu sekat kemaraannya”. ‘Mereka’ jelas merujuk parti Democrat.

Yang pasti perbicaraan Trump (jika dijalankan) akan mengambil masa lama dan pasti dijalankan semasa kempen pilihan raya berlangsung, malah ketika pemilihan itu sendiri dilaksanakan kelak. Mengikut perundangan AS sesorang yang sedang dibicarakan boleh menyertai pilihan raya. Lalu terulanglah kepada rakyat AS sama ada mahu atau boleh menghadapi situasi dimana seorang calon presiden sedang berdepan perbicaraan. Bagaimana pula Trump mahu mengimbangi waktu dan tenaga di antara mahkamah dan berkempen ke seluruh pelosok negara?

Yang nyata Trump “simply refuses to go away and fade away quietly”. Ingat semasa beliau dikalahkan Joe Biden pada pemilihan presiden 2020? Beliau mendakwa “kemenangannya telah dicuri” daripadanya. Beliau turut menuduh penipuan berlaku. Ingat rusuhan di Capitol Hill pada 6 Jan 2021 berikutan kekalahannya itu? Kekacauan dilakukan penyokongnya. Dilihat bagai satu “percubaan rampas kuasa” yang dikatakan direstui atau digalakkan oleh Trump. Ini satu lagi kes yang Trump akan berdepan.

Meskipun begitu seperti dikatakan tadi Trump mahu kekal dalam senario politik AS.

Kenalannya, Najib Razak juga mencipta sejarah sepertinya. Juga “for the wrong reasons” menjadi perdana menteri pertama Malaysia ( bekas perdana menteri atau yang masih memegang jawatan) dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Didapati bersalah lalu dipenjara. Najib ada lagi kes yang sedang dihadapi.

Ads by Kiosked

Seperti Trump, Najib juga mendakwa beliau menghadapi “polical prosecution”. Beliau mendakwa tidak dapat pengadilan serta bermacam dakwaan yang tidak perlu saya ulangi kerana ramai sudah mendengarnya. Malah tiga bulan lalu Najib memfail petisyen kepada kumpulan bekerja Majlis Hak Asasi Manusia PBB supaya beliau dibebaskan atau perbiaraannya diadakan semula. Langkah yang agak pelik dan nyata tidak berjaya meraih apa yang diharapkan. Kita tahu 31 Mac lalu Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan majoriti menolak permohanan Najib untuk dilakukan semakan terhadap keputusan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atasnya dan denda RM210 juta, sabit kesalahan rasuah kes SRC International melibatkan RM42 juta.

Walaupun itu keputusan majoriti membabitkan empat hakim, seorang hakim yakni Abdul Rahman Sebli, hakim besar Sabah dan Sarawak, membuat keputusan menentang. Ertinya keputusan 4-1. Apa pun tetap majoriti.

Pun begitu tindakan Rahman kini cuba digunakan peguam Najib untuk menghidupkan perjuangan. Namun bagi Badan Peguam penghakiman berbeza dalam permohonan semakan kes SRC International membabitkan Najib bukan alasan untuk semakan atau perbicaraan semula pada masa hadapan.

Kata presidennya, Karen Cheah, penghakiman berbeza dalam sistem perundangan hanyalah perbezaan pendapat tetapi yang sebenar diguna pakai ialah penghakiman majoriti. Oleh itu, menurut Cheah, keputusan majoriti 4 berbanding 1 bermakna kes SRC International harus dianggap “res judicata” yang bermakna ia telah diadili oleh mahkamah yang berwibawa dan oleh itu mungkin tidak diteruskan oleh pihak yang sama.

Umum tahu kes SRC International Najib sudah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persektuan, dan kemudian disemak oleh hakim Mahkamah Persektuan yang berbeza. Habis cerita. Muktamad. Itu lojiknya. Tetapi anehnya peguam Najib mahu menggunakan suara tunggal iaitu yang 1 berbanding suara 4 untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Ertinya apa yang dikatakan oleh Rahman digunakan.

Kata Shafee Abdullah, peguam utama Najib, penghakiman majoriti dan penghujahan Rahman akan dipersembahkan kepada Agong untuk dibandingkan “mana penghakiman yang lebih baik”.

Soal “perbicaraan adil” sudah berulang kali digunakan oleh Najib, ahli politik partinya, peguam, dan penyokong sejak 2018 lagi ketika beliau pertama kali didakwa di mahkamah.

Seperti Trump, Najib juga “refuse to go away quietly”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.