`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 26, 2023

Politik nama

 

Rupa-rupanya politik Malaysia masih belum matang. Walaupun sudah 66 tahun merdeka. Atau bukan politik yang belum matang tetapi ahli politik Malaysia yang tidak matang-matang. Bukan semua, mungkin segelintir. Tapi itu cukup untuk memalukan ahli dan politik Malaysia.

Baru-baru ini, seorang ahli politik, bukan calang-calang orang, Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) kata konsep Rahmah bukan idea asal kerajaan perpaduan. Tetapi sebaliknya beliau mendakwa itu adalah gagasan Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri ketujuh dari 2018-2020.

Malah beliau turut menekankan bahawa naratif Rahmah itu satu kesilapan yang menjolok mata. Malah beliau menuduh ianya sebagai satu pembohongan melampau dan tidak tahu malu. Beliau seterusnya mengungkit bagaimana mulanya dan di mana Rahmah itu dipertuturkan dan kononnya dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia.

Itulah hakikat dan standard ahli politik Malaysia. Kejar nama! Nakkan kredit! Pentingkan populariti! Jauh dari tujuan asal dan murni iaitu untuk mensejahterakan rakyat dan memajukan negara! Sedih, amat sedih!

Mujur ada juga menteri yang matang berfikiran waras. menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup bingkas membetul dan menenangkan keadaan. Beliau mengingatkan ahli politik tersebut dan yang sewaktu dengannya yang mengejar nama, kredit dan populariti supaya ide konsep Rahmah itu tidak seharusnya menjadi isu dan bahan pertikaian mana-mana parti politik. Yang penting ianya memberi manfaat kepada rakyat, mengembalikan semula tujuan politik itu sendiri.

Sebenarnya ide hanya tinggal ide. Ia tidak membawa apa-apa makna, jika ianya tidak diterjemahkan kepada gerak kerja yang menatijahkan kebaikan dan manfaat kepada rakyat. Itu yang terjadi mungkin ketika ide Rahmah diperkenalkan ketika itu. Ide hanya tinggal ide!

Tiada program mahupun inisiatif yang menyusul menterjemahkan idea Rahmah yang memberikan manfaat kepada rakyat ketika itu. Yang menonjol hanyalah “politicking” anti-rahmah daripada sebahagian ahli politik dalam kerajaan yang berkomplot bersama ahli politik pembangkang menjatuhkan kerajaan secara tebuk atap dan pintu belakang yang langsung tidak rahmah.

Sekurang-kurangnya sekarang rakyat berbilang kaum dan agama tahu erti Rahmah melalui pelbagai inisiatif rakyat-centric yang dilaksanakan sejak kerajaan perpaduan ciptaan YDPA ini memerintah negara. Dan rakyat pelbagai peringkat terutama golongan yang memerlukan mandapat manfaat daripadanya.

Ads by Kiosked

Itulah sebenarnya intipati dan manifestari daripada Rahmah, salah satu atribut Tuhan Yang Maha Esa. Rahmah-Nya menjangkau ke seluruh alam, manusia, haiwan dan tanam-tanaman dan kepada yang taat dan tidak taat kepada-Nya. Secara kebetulan Rahmatan Lil Alamin merupakan misi kerasulan Nabi Muhammad dan juga menjadi slogan atau misi sebuah parti politik yang menganggotai kerajaan perpaduan.

Tidak keterlaluan dikatakan, antara banyak program Payung Rahmah, inisiatif Menu Rahmah yang paling “world” dan “viral” kerana ianya benar-benar merasuk keperluan rakyat yang majoritinya bekerja dan sekurang-kurangnya sekali terpaksa makan di luar.

Ada juga rakyat marhain yang mengatakan mereka kini berpeluang menikmati makanan segera seperti Burger King, McD dan Marrybrown dengan harga rahmah.

Dan rahmah itu bukan hanya diterjemahkan dalam bentuk makanan tetapi Bakul Rahmah yang merupakan bantuan barangan keperluan untuk golongan B10 yang pendapatan isi rumah bawah RM2,500 sebulan. Khabarnya sudah lebih 30,000 Bakul Rahmah diedarkan kepada si penerima setakat ini.

Kalau itu pun belum mencukupi, dikhabarkan sebanyak 3,225 Jualan Rahmah telah diadakan di 120 Parlimen di mana barang-barang keperluan yang ditawarkan diskaun sehingga 30% memberi manfaat kepada 56,488 rakyat di dalam Parlimen tersebut dengan jualan menjelang Aidilfitri berjumlah lebih daripada RM56 juta.

Lebih menarik, Rahmah itu diterjemahkan dan disambut lebih meluas oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) yang memperkenalkan pakej penyelenggaraan kenderaan ditawarkan oleh Proton dan Perodua.

Ads by Kiosked

Dan baru-baru ini Tol Percuma Rahmah pula memberi manfaat kepada rakyat yang menggunakan kenderaan untuk balik kampung beraya melewati 33 lebuh raya. Keseluruhan kos akan ditanggung kerajaan melebihi RM93 juta.

Mungkin ada yang mempersoalkan bahawa bakul, jualan dan tol bukan ide baharu. Itu bukan persoalannya. Yang lebih utama dan terpenting ialah penambahbaikan inisiatif tersebut dan manfaat dikecapi rakyat dengan penjenamaan semula ide tersebut.

Inilah kreativiti, pemikiran dan kerja keras ahli politik yang bekerja untuk rakyat dan pembangunan negara. Inilah yang diperlukan rakyat. Semoga trend sebegini berterusan dalam kalangan ahli politik dan pemimpin negara generasi baharu. Rakyat harus menyambut baik jenama baharu ahli politik sebegini.

Dan rakyat harus menolak ahli politik yang mengejar nama, kredit dan populariti! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.