PETALING JAYA: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) tidak bersetuju dengan kenyataan seorang menteri bahawa kebergantungan mahasiswa kepada pembiayaan oleh universiti wajar dikurangkan dengan kebebasan yang diberi dalam mengurus akaun dan kewangan persatuan.
Presidennya, Wan Arif Wan Bazli berkata, kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin itu dilihat seolah-olah pihak bertanggungjawab “lepas tangan” dalam menjaga kebajikan mahasiswa.
Selasa lepas, ketika menggulung perbahasan Bajet 2023 di peringkat jawatankuasa kementerian, Khaled berkata, pindaan pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 berkaitan urusan akaun dan kewangan akan mengurangkan kebergantungan pelajar kepada universiti dari segi pembiayaan kegiatan.
Wan Arif berkata, mahasiswa perlu diberikan pengetahuan sewajarnya supaya kebebasan yang diberi itu tidak menimbulkan isu salah guna wang mahupun kelemahan dari segi tadbir urus.
“Pada fasa awal, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pentadbiran universiti perlu mengadakan bengkel pengurusan kewangan persatuan untuk memastikan mahasiswa dapat menguasai kemahiran yang diperlukan,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, beliau masih menyambut baik usaha kerajaan meminda akta tersebut kerana ia bukan sahaja dapat melatih mahasiswa dalam pengurusan akaun persatuan dengan lebih mandiri, malah mempercepat proses pengeluaran wang persatuan dari pihak universiti.
“Sebelum ini, kami terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan wang persatuan daripada bendahari kampus, padahal wang tersebut sebenarnya hasil tajaan yang dicari mahasiswa sendiri,” katanya.
Sementara itu, pegawai Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Zaim Mustaqim berkata, sungguhpun kebebasan mengurus akaun dan kewangan persatuan itu dilihat berat, namun ia sememangnya satu langkah ke arah mendewasakan mahasiswa sekiranya kerangkanya jelas tentang proses serta urusan teknikal yang perlu dipatuhi.
“Sudah menjadi satu bebanan bagi pelajar (apabila) sepanjang Auku dikuat kuasa, pelajar tidak dibenarkan memegang duit persatuan meskipun bagi tujuan kegiatan.
“Semuanya perlu melalui proses birokrasi yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk universiti. Ini merencatkan proses pelaksanaan kegiatan atau program persatuan,” katanya.
Tambahnya, dengan pindaan Auku itu, sikap kebertanggungjawaban untuk berfikir secara kritis dan kreatif tentang cara membiayai pergerakan persatuan secara mampan akan timbul dalam kalangan mahasiswa. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.