`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, May 8, 2023

Dilema raya zaman ini

 

Saya percaya kita semua masih dalam ‘mood’ raya. Setiap hujung minggu sejak 1 Syawal tempoh hari lebuh raya terus sesak. Begitu juga jalan-jalan di ibu kota kenderaan berpusu-pusu, ramai pergi beraya memenuhi undangan tuan rumah yang menganjurkan rumah terbuka hari raya. Seminggu beraya di kampung sudah, kini masa beraya dengan kawan-kawan di rumah sendiri.

“Jangan risau! Kalendar Melayu bulan Syawal sampai 40 haribulan,” seloroh saya selalunya dengan kawan-kawan. Pendek kata, selagi belum habis Syawal acara kunjung-mengunjung tetap dilakukan. Ada ketikanya terlajak ke Zulkaedah. Begitulah suasana raya yang sudah menjadi tradisi kita turun-temurun.

Saya tidak pernah menganjurkan majlis rumah terbuka khas hari raya, makanya yang datang beraya adalah mereka yang mahu datang, maklumkannya lebih awal melalui telefon atau main redah sahaja di rumah saya yang memang sedia terbuka pada hari raya kedua dan ketiga. Ini kawan-kawan lama sudah sedia maklum. Jadi, pada hari tersebut isteri saya sudah bersedia dengan hidangan yang mencukupi untuk tetamu.

Secara peribadi saya kurang gemar dengan konsep rumah terbuka khas hari raya kerana tetamu sudah pastilah ramai dan mereka ini pula dari pelbagai latar pula. Ada yang kaki politik penyokong parti A, ada juga parti B. Ada pula geng-geng orang seni dan tidak kurang pula kawan yang alim-alim. Agak sukar untuk saya layan mereka sama rata dan saya sangat khuatir ada yang kecil hati sebab kurang disantuni.

Maka, untuk keselesaan semua, tiada rumah terbuka khas oleh kami. Anda hanya tetapkan sahaja bila nak datang, saya akan sedia luangkan waktu. Tetapi konsep rumah terbuka hari raya ini bukanlah tidak bagus. Bagus sebab menjimatkan kos dan senang! Sehari kita berjumpa semua sekaligus. Selesai! Bagus, kan? Cuma saya sahaja yang kurang gemar. Atas alasan itu juga jika saya menghadiri rumah terbuka rakan taulan lain saya bersedia untuk tidak mengharapkan tuan rumah meluangkan banyak masa untuk saya. Saya tumpukan kepada makan-makan sajalah. Bertegur-sapa dan berbasa-basi lebih kurang sudahlah. Saya okey, tiada komplen apa-apa. Saya jenis demokratik dan menghormati pilihan orang lain. Ehem!

Sudah lima perenggan saya masih belum masuk lagi isi kepada tajuk tulisan kali ini. Begini, bila kawan-kawan datang berkunjung berceritalah kami akan dilema-dilema pada hari raya era ini. Bukan setakat fasal mak cik atau pak cik yang menyibuk tanya bila nak kahwin atau bila kita nak beranak, itu sudah pun kita bincang sebelum ini, tetapi tentang suatu hal yang mungkin agak sensitif dan memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan. Isu ada adik-beradik yang tak tidur di rumah orang tua sebaliknya menyewa “homestay”.

“Ini ‘propa’ orang bisnes ‘homestay’ memanipulasikan isu aurat dan dosa apabila ipar duai berkumpul,” kata seorang kawan saya. “Mereka menakut-nakutkan dengan isu hubungan sumbang mahram.”

Macam saya kata tadi, isu ini sensitif dan perlu diselesaikan dengan bijak. Dengar sepintas lalu hujah kawan saya itu seakan dia menentang hukum fiqah pula tetapi mari kita berlapang dada. Apakah hukum-hakam yang tegas di tangan mereka yang memegangnya perlu mengorbankan kerinduan ibu dan ayah terhadap anak perempuannya yang sudah lama tidak bersua? Buah hati manjanya yang walaupun pulang beraya tetapi seakan ada tembok menghalang mereka melepaskan rindu itu disebabkan anaknya sudah bergelar isteri orang?

Ads by Kiosked

Seorang anak perempuan yang sangat rindukan ayah ibunya mesti taat dengan suaminya untuk tidur di “homestay” dan bukan di rumah di mana dia dibesarkan, kerana di rumah tersebut ada saudara lelaki yang lain. Ada adik lelaki, ada abang darah daging sendiri tetapi tidak boleh. Manakala si suami ini pula harus menjaga pandangannya juga dengan kakak ipar atau biras perempuan.

Isu yang diapungkan oleh saya ini bukan untuk mencari gaduh tetapi saya ingin melihat apakah ada penyelesaian yang lebih bijak oleh para agamawan dalam hal ini selain daripada menyewa hotel atau “homestay”? Apakah itu mandatori? Bagaimana pula keluarga yang menghadapi hal begini tidak mampukah berfikir dengan akal yang sejahtera untuk menyelesaikannya? Mentaati suami itu sangat ditekankan oleh agamawan, menghormati ibu bapa pun apa kurangnya, menjalinkan silaturrahmi juga sangat dituntut bahkan berdosa jika memutuskannya. Ayuh, selesaikanlah!

Dalam hal ini jika berlaku ke dalam keluarga saya, saya tidak ambil “pot”. Jika pihak berkenaan berasa pentingnya menjaga hal tersebut mengikut apa yang mereka fahami, jagalah. Bak kata orang Perak, “Lantak komer lah!”

“Tapi memang dilema tahu tak, abang?”

Itulah yang disungutkan oleh dua tiga kawan saya yang perempuan. Mereka bersungut sebab mereka inilah terutama yang masih bujang inilah yang kena siapkan bahan, kena memasak, menghidang makanan, membasuh pinggan-mangkuk sehinggalah mengemas dan membersihkan ruang makan dan dapur, sedang saudara perempuannya atau ipar perempuannya yang tidur di “homestay” hanya duduk makan sahaja. Boleh pakai baju lawa-lawa dan boleh juga keluar berjalan ke rumah orang lain.

“Habis, macam mana tu?” tempelak kawan saya. “Hukum apa pulak macam tu? Mak ayah yang semakin tua bertungkus-lumus menghias rumah, pasang langsir, sapu sawang, buang sampah semua tu, yang ‘awak’ bukan main datang berlenggang je. Cukup masa balik ‘homestay’. Gelas, mangkuk dan pinggan muka budak nakal macam kami ni lah yang nak kena uruskan. Hukum apa, bang?”

Ads by Kiosked

“Lepas tu siap boleh nasihatkan kita pula bagaimana nak uruskan mak atau abah yang dah uzur. Bagaimana nak suap makanan, bagaimana nak urutkan badan semua bukan main dia nak ajar kami padahal awak tu buat hanya pada masa itu sajalah. Yang kami ni setiap hari buat semua tu tak ada pun nak kecoh.”

“Sebab tu bang ada kawan kami waktu hari raya dia pergi bercuti ke mana-mana. Malas dia nak menghadap puak-puak macam ni. Berselindung balik hukum-hakam untuk menutup perangai pemalas,” sambung dia lagi. Aduh! Bisa tu.

Sungutan kawan saya ini memang ada saya temui banyak di laman sosial. Mereka meluahkan rasa meluat dengan ahli keluarga yang dalam hendak menjaga batas agama, pada masa yang sama menyinggung perasaan ahli keluarga yang lain. Bukankah itu juga tidak baik dari sudut agama?

Apa yang saya nampak dalam hal ini? Saya melihat ini adalah kesan tidak “fatanah” para pengajar agama dalam mendidik masyarakat kita. Rasulullah menggariskan “siddiq” (benar), “amanah”, “tabligh” (menyampaikan), dan “fatanah” (bijak) ciri dakwah yang terbaik. Mesti penuh hikmah, bukan membuat orang berasa terpaksa apatah lagi menyinggung perasaan pihak lain pula. Lalu apabila hendak berdakwah susunan empat ciri tadi dibaca pula secara terbalik iaitu bijak-menyampaikan-amanah-kebenaran.

Apa yang saya nampak amalan agama yang ditekankan kepada masyarakat kita oleh penceramah agama era media sosial ini banyak tertumpu dalam bab menjaga hubungan dengan Allah sahaja (habluminallah) tetapi kurang berhubung dengan manusia sedangkan hubungan sesama manusia itu (habluminannas) juga turut dituntut.

Bahkan jika hubungan sesama manusia dipelihara dengan baik, itu sendiri sudah termasuk dalam “habluminallah”. Ini, bagi saya sangat perlu untuk kita hayati. Lihat apabila kita sembahyang berjemaah di masjid misalnya. Selepas habis solat, kita bersalam dengan jemaah di sebelah kita tanpa melihat muka mereka dan kemudian dengan laju kita keluar menyarungkan alas kaki dan meninggalkan masjid. Apa maknanya semua itu tadi? Tak ada makna. Hanya ikut-ikutan saja.

Ads by Kiosked

Inilah dilema raya dekad ini setelah berpuluh tahun dahulu kita tidak diancam dengan hal sebegini dan tidak terlintas dalam kepala ketika itu selain berasa bahagia berkumpul dan bersua-muka. Adik-beradik serta ipar duai mesra bergaul ikhlas pada waktu itu. Mungkin pada waktu itu media tidak seluas ini, kita tidak pernah dengar kes-kes sumbang mahram atau kecurangan. Apabila tidak pernah dengar secara langsung kita pun tidak terfikir langsung akannya.

Kemudian zaman berubah, batas-batas harus dijaga sebagai langkah pencegahan kepada kes-kes songsang sedemikian. Namun, langkah-langkah pencegahan ini turut juga menimbulkan dilemanya pula dengan terjadinya perangai-perangai yang diceritakan tadi. Itulah kita, manusia. Memanipulasi, berselindung, dan mengambil kesempatan permainan kita tidak kira di mana walaupun nampak macam kita duduk di suatu tempat yang dilihat baik.

Sebab itulah, kita ini bukan setakat hanya tahu nak sambut raya sahaja tetapi harus faham semangat raya, roh hari raya, dan budayanya. “Aid”, “Ul”, “Fitr” wajar dihadamkan makna ‘hakiki’-nya. Para agamawan yang “fatanah” amat diperlukan untuk menjernihkan dilema ini agar tidak terus melarat dan membudaya pada hari raya tahun-tahun akan datang. Fatanah-lah! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.