`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 24, 2023

Kos rawat Evali cecah RM150,000

 

Kementerian Kesihatan menerima 18 kes Evali dan 20 kes lain berkaitan penggunaan vape sejak 2022.

PETALING JAYA: Kos merawat pesakit kecederaan paru-paru atau “E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury” (Evali) yang dimasukkan ke hospital selama 12 hari dianggarkan mencecah RM150,000.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 18 kes Evali dan 20 kes lain berkaitan penggunaan vape sejak 2022.

Justeru, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM bercadang meneruskan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

Menerusi RUU itu, katanya, kawalan menyeluruh terhadap produk vape atau rokok elektronik dapat dilaksanakan, termasuk larangan terhadap produk dan pembungkusan yang menyerupai permainan kanak-kanak.

“Kawalan terhadap perisa yang boleh menarik perhatian kanak-kanak dan remaja menggunakan produk ini juga boleh dilaksanakan melalui RUU ini,” katanya menurut Berita Harian.

Zaliha berkata, kawalan bagi peranti vape di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022 bagi memastikan setiap peranti mematuhi Standard Malaysia MS 2716 untuk menjamin keselamatan peranti itu.

Bagi keselamatan cecair rokok elektronik, katanya, tiada sebarang standard ditetapkan KKM kerana tiada had selamat untuk bahan kimia dalam cecair rokok elektronik atau vape.

“Penggunaan rokok elektronik atau vape sungguh pun pada awalnya dicipta sebagai alternatif yang dikatakan lebih selamat daripada rokok tembakau, namun kajian saintifik terkini membuktikan rokok alaf baharu, termasuk vape tetap berbahaya.

“Pelbagai kajian saintifik menemui banyak kesan buruk akibat penggunaan rokok elektronik atau vape terhadap kesihatan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.