PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rantau Ranjang Siti Zailah Mohd Yusoff menafikan dakwaan beliau mencuri air dari pili bomba dan berkata beliau mendapat kebenaran untuk mengambil air dari sumber itu.
Zailah berkata beliau juga memaklumkan kepada Balai Bomba Rantau Panjang dan mendapat bantuan dari anggota bomba yang membantunya membuka pili serta menyalurkan air ke dalam lori.
Katanya, beliau pada mulanya berbincang dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengenai masalah air dan syarikat itu mencadangkan untuk mengambil air dari sumber berdekatan kerana jarak loji air terlalu jauh dari parlimen Rantau Panjang.
“Saya pun terus berhubung dengan pihak Bomba Rantau Panjang. Pihak Bomba Rantau Panjang datang bawa peralatan, mereka (cakap) mari Kak Lah, kami tunjuk, kami boleh bantu.
“Bomba yang pasangkan untuk saya, pasangkan hos untuk saya, dia tunjuk pili paling selamat,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan yang akan menyiasat seorang Ahli Parlimen pembangkang di Kelantan kerana didakwa menggunakan air dari pili bomba bagi mengatasi masalah bekalan air penduduk setempat.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen itu kerana ia tindakan tidak bertanggungjawab untuk dilakukan mana-mana individu.
Zailah berkata, beliau terpaksa bertindak demikian kerana masalah kekurangan air di Rantau Panjang semakin meruncing sejak April lalu kerana musim kemarau menyebabkan air sungai surut. Keadaan semakin buruk ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
“Apabila bekalan tak cukup saya rujuk exco. AKSB dan kerajaan negeri buat inisiatif hantar air ke rumah, tangki-tangki, kolah masjid yang dihantar menggunakan lori, jadi satu lori dibekalkan melalui pejabat DUN, tapi tak mencukupi,” katanya.
Zailah berkata tindakannya itu juga tidak berisiko sekiranya berlaku kebakaran kerana AKSB memberitahu air dari pili bomba tidak akan berkurangan kerana sumber air datangnya dari syarikat itu.
“Beliau (Nga) perlu menyemak terlebih dahulu dengan pihak bomba sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat tindakan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.