`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 8, 2023

Cukup jumloh…tapi kes Zahid mungkin kalih pengundi

 

Hanya beberapa jam saja lagi, pengundi PRK Pulai dan Simpang Jeram akan membuat pilihan dalam mewarnai landskap politik negara, dengan beberapa perkembangan mutakhir yang mungkin mempengaruhi keputusan mereka.

“Cukup jumloh, cukup jumloh (dalam loghat Terengganu)” sudah kerap dilaungkan dalam usaha Perikatan Nasional (PN) hendak meyakinkan ramai kononnya gabungan itu memiliki cukup Ahli Parlimen bagi menumbangkan kerajaan perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH).

Dari seawal April lalu lagi – hanya lima bulan selepas PRU15 – Presiden PAS Hadi Awang tidak jemu-jemu menuturkannya, dengan garis masa yang kemudian berubah-ubah kepada bulan lalu tapi ia tidak berlaku juga.

Tidak menghairankan anjakan itu berlanjutan dari selepas PRN 12 Ogos lalu kepada PRK Pulai/Simpang Jeram kerana ia seakan-akan sudah diterima umum yang ia tidak lebih daripada gurauan semata-mata, atas perkiraan PH perlu kehilangan sekurang-kurangnya 36 kerusi Parlimen untuk itu berlaku.

“Gila ke apa?” kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Sebelum ini, didakwa 15 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta dua PKR sedia berpaling tadah dan bertanding semula. Itu tidak berlaku, sama juga dengan kononnya tujuh Ahli Parlimen Umno akan keluar menjelang 31 Ogos untuk memberi tekanan kepada Presiden Zahid Hamidi agar menarik keluar sokongan BN secara en bloc terhadap kerajaan perpaduan.

Apa kata Hadi sesudah itu? Maka, ujarnya, PN perlu menang Pulai serta memujuk beberapa MP lain ke arah menukar kerajaan.

“Macam masa mula-mula pembentukan kerajaan dulu (selepas PRU15), dia juga yang bagitau cukup jumloh sana, cukup jumloh sini. Lepas tu, dia tak pernah minta maaf pun Haji Hadi ni. Dia boleh kata pada penyokong dia cukup jumloh padahal kita semua tahu benda tu tak betul. Sama juga dia boleh kata kerajaan akan jatuh, tak jatuh pun tapi dia tak ada nak rasa bersalah,” tambah Rafizi.

Kemudian, PN mengubah pula naratifnya untuk menafikan PH majoriti 2/3 di Parlimen dengan 148 kerusi sebelum ini. Kini tinggal 147 kerusi berikutan kematian Salahuddin Ayub, PH akan dinafikan satu kerusi ‘keramat’ jika ia tewas PRK Pulai.

Kata mereka, tanpa majoriti 2/3, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim tidak akan dapat meminda Perlembagaan sewenang-wenangnya untuk apa saja tujuan, terutama bagi manfaatnya. Lantas, PRK Pulai dilihat sangat penting untuk PH mengembalikan status quo.

Isnin lalu pula, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding pada peringkat ini.

Pejabat Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan yang hanya mengatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan jelas, logik, dan menyakinkan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Peguam Negara Idrus Harun tidak meneruskan prosiding terhadap Zahid sebagai tidak bermoral. Ini, katanya, selepas mahkamah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid dengan mengemukakan keterangan berdokumen dan 99 saksi.

“Reformasi sudah dibatu-nisankan,” kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin di sebalik mengakui ‘pembebasan’ Zahid daripada semua pertuduhan memang dijangkakannya tapi apabila ia benar-benar berlaku, ia tetap sangat mengejutkannya.

“Saya harap tiada ahli politik kerajaan perpaduan berani untuk mewajarkan perkara ini atau sekali lagi mengatakan mereka antirasuah,” kata bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan pula.

Selepas seminggu, pertikaian pelbagai pihak terhadap keputusan mahkamah ke atas Zahid itu belum reda, dengan masing-masing mempunyai pelbagai hujah dan alasan yang ia tidak patut berkesudahan demikian.

Seperti pucuk dicita ulam mendatang, PN menyambutnya sebagai modal baharu saat-saat akhir untuk mengajak pengundi menolak PH. Ini dikatakan memungkinkan pengundi bukan Melayu memboikot PRK Pulai/Simpang Jeram kerana berasa “tertipu dengan PH”.

Sekurang-kurangnya ada satu laporan setakat ini yang memetik seorang pemimpin akar umbi PKR sebagai berkata mereka tidak pasti bagaimana untuk menjawab soalan orang ramai mengenai keputusan mahkamah yang menghentikan perbicaraan presiden Umno itu yang berjalan selama empat tahun.

“Apabila kita dekati pengundi, soalan pertama mereka tanya adalah tentang DNAA Zahid. Apabila kita beritahu itu keputusan mahkamah, tiada kena mengena dengan politik, mereka seolah-olah tak percaya,” katanya.

Penganalisis politik sependapat kemenangan calon PH Suhaizan Kaiat akan menjadi petunjuk penting keabsahan moral kerajaan perpaduan sambil menyandarkan peratusan keluar mengundi yang tinggi sebagai salah satu faktor kemenangan.

“(Yang paling penting) adalah peranan jentera PH-BN untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi. Saya jangkakan kemungkinan terdapat perpecahan di kalangan pengundi Melayu, justeru terpulang kepada peratusan pengundi bukan Melayu,” kata Sivamurugan Pandian.

Terdapat seramai 166,653 pengundi di Pulai dengan 44.18% atau 73,619 pengundi adalah Melayu, diikuti pengundi Cina sebanyak 40.46% (67,434 orang), India sebanyak 12.31% (20,508 orang), manakala kaum lain sebanyak 3.06% (5,092 orang).

Mujibu Abd Muis pula berkata isu-isu yang dibangkitkan PN ketika kempen seperti keistimewaan Melayu, kerakyatan, ataupun mengenai keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Zahid dijangka tidak memberi kesan signifikan kepada kempen.

“Keupayaan PH untuk mempertahankan (kerusi Pulai) agak tinggi,” katanya sambil menambah kecenderungan PN dilihat lebih menyasarkan untuk menang DUN Simpang Jeram bagi menguatkan lagi naratif mereka bahawa orang Melayu menolak BN dan Umno.

“Apapun keputusan PRK ini, ia tidak mengubah keadaan politik, di negeri ataupun Persekutuan,” kata Sivamurugan lagi merujuk kepada PN yang jelas membawa naratif mahu mengurangkan mandat dua pertiga kerajaan perpaduan.

Terpulang kepada sesiapa saja untuk meramalkan keputusan PRK Pulai/Simpang Jeram di sebalik kecenderungan ramai untuk melihat kepada skor 1-1 tapi “cukup jumloh” mungkin modal yang tak laku lagi selepas ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.