`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 22, 2023

Menteri arah siasat dakwaan kamera tersembunyi di ‘homestay’

 

Seorang wanita China mendedahkan menemui kamera tersembunyi di sebuah inap desa di Sabah. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengarahkan siasatan dijalankan selepas seorang pelancong asing mendakwa sebuah inap desa didiaminya di Sabah memasang kamera tersembunyi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata beliau meminta kerajaan negeri mahupun Motac Sabah serta agensi berkaitan mengambil serius dakwaan itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Hukuman tegas dan setimpal wajar dikenakan kepada pihak terbukti bersalah. Perbuatan terkutuk seperti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang, tetapi juga menjejaskan imej industri pelancongan negara.

“Jika mereka (pengusaha inap desa atau pemilik bawah Motac) melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan disabitkan bersalah, Motac akan mengambil tindakan tegas seperti membatalkan pendaftaran dan menarik balik penggredan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Tiong menyarankan pengusaha inap desa atau pemilik berdaftar bawah Airbnb meningkatkan taraf kesedaran dan mengambil perhatian serius terhadap disiplin serta memeriksa latar belakang pekerja masing-masing.

“Tidak dinafikan perkara seperti ini mungkin terjadi disebabkan perbuatan peribadi yang dilakukan pekerja homestay atau Airbnb yang tidak bertanggungjawab.

“Motac tidak sesekali berkompromi terhadap kejadian seperti ini dan akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita China mendedahkan menemui kamera tersembunyi di sebuah inap desa di Sabah menerusi platform media sosial Xiaohongshu.

Wanita itu memuat naik gambar mendedahkan lubang bulat di tengah soket, yang apabila diterangi lampu suluh telefon bimbit, menampakkan seperti cermin.

Dia kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis dan menerima bayaran balik daripada inap desa berkenaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.