`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, September 7, 2023

Tolak perbezaan demi masa depan Malaysia gemilang, titah Agong

 

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mencuba tarian tradisional suku kaum Murut, Tarian Magunatip pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Sabah di Kota Kinabalu malam ini. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kesatuan jitu antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak merupakan kekuatan utama membentuk Malaysia.

Justeru, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat bersama berusaha mempertahankan kesatuan itu dan menolak segala perbezaan, selain menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia demi masa depan negara yang gemilang.

“Bagaikan aur dengan tebing, serumpun laksana serai, kesatuan jitu antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak merupakan kekuatan yang membentuk sebuah negara bernama Malaysia,” titah Seri Paduka.

Ads by Kiosked

Sultan Abdullah bertitah pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Sabah Sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Yang Dipertua Sabah Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Speaker DUN Kadzim M Yahya.

Sultan Abdullah bertitah, keberangkatan baginda ke Sabah juga diharap dapat membina jambatan silaturahim bagi mengukuhkan ikatan perpaduan antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung.

“Kita semua, sama ada dari Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung, adalah negara merdeka yang berdiri megah di bawah satu bendera bernama ‘Jalur Gemilang’.”

Baginda bertitah, sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo, mereka berdua mengenali budaya pelbagai etnik, makanan tradisi, alat muzik tempatan dan tarian tradisional masyarakat Sabah.

Ads by Kiosked

“Saya juga amat gembira dengan layanan mesra dan keramahan rakyat yang saya temui di sepanjang perjalanan terdiri daripada berbilang etnik dan suku kaum.

“Saya telah mempelajari rakyat Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik, ini merupakan realiti amat menakjubkan.”

Titahnya, keharmonian rakyat Sabah yang wujud di sebalik kepelbagaian adalah simbol perpaduan di negara ini dan wajar dijadikan teladan.

Seri Paduka turut menzahirkan terima kasih kepada semua rakyat Sabah yang sentiasa dekat di hati, atas kesudian menerima kunjungan Seri Paduka berdua dalam Kembara Kenali Borneo.

“Kembara Kenali Borneo ini merupakan lawatan saya yang terakhir ke Sabah, Negeri di Bawah Bayu sebagai Yang di-Pertuan Agong. Ia merupakan pengalaman tidak mungkin dapat saya lupakan.

“Semoga rakyat Sabah yang saya kasihi sekalian akan dilindungi serta dipelihara Allah. Saya turut berdoa semoga Sabah terus makmur, maju jaya, aman dan sentosa dalam Persekutuan Malaysia atas semangat perpaduan jitu.”

Ads by Kiosked

Baginda sempat bertitah dalam bahasa Kadazan yang bermaksud “Terima kasih semua, Sabah dan rakyatnya sentiasa berada di dalam hati saya”.

Seri Paduka berdua kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154km Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.