`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 1, 2024

Jemput makan kuih ‘Telinga K’

 

Di tahun 2024, kita beranggapan gelar atau panggilan yang tidak kita senangi; tidak usahlah digunakan. Melayu paling benci dipanggil malas. Manakala Cina tidak kotor seumpama disangka. Malah kawan saya berbangsa Cina tempatan asyik mengadukan tandas tanpa bidet di Australia. Masyarakat trans-wanita usahlah lagi dipanggil “bapok” atau “pondan”. Kita tiba akhirnya ke masa kini yang membawa kita ke perhentian terakhir penggunaan kata “keling” untuk merujuk India.

Terlebih dahulu saya meminta maaf menggunakan kata “keling” sebanyak 29 kali di dalam artikel ini, ia semata-mata bertujuan menjelaskan. Elok dibaca sampai habis, tanpa emosi.

Memang sejarah kata “keling” itu membawa kepada “keunggulan”. Akan tetapi makna sesuatu kata akan berubah. Seperti mana perkataan “kunyit” yang membawa maksud – kunyit – sejenis bahan untuk masakan; tetapi hari ini boleh bermaksud aksi porno. Oleh sebab ada kanak-kanak juga suka membaca rencana saya ini maka saya tidak akan mengulas berlebihan kata “kunyit” itu.

Ada banyak lagi perkataan yang membawa maksud berbeza masa lampau kini menjadi satu kata yang berlainan sama sekali. Dalam bidang bahasa ia jatuh di bawah kajian perubahan semantik.

Sebagai seorang felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu, saya boleh mengesahkan macam-macam kehebatan pada kata “keling” di masa lampau. Sebelum saya bincangkan kata ini, sayugia diingatkan perkataan “keling” juga bermaksud sejenis kapal; dalam peribahasa ‘bagaikan keling karam’ bukanlah merujuk hingarnya orang India tatkala kapal sedang tenggelam. Peribahasa ini membawa gambaran paniknya penumpang sejenis kapal ( کليڠ ) ekoran kapal sedang terbenam lantas berlakulah huru-hara.

Ada juga maksud lain “keling” yang malas saya bincangkan di sini. Elok saja difokus kepada kata “keling” yang kontroversi itu.

Dalam kamus bahasa Melayu moden, kata “Keling” merujuk kepada negeri Kalingga dan Telangana sejak kurun ketiga masehi. Di utara Tanah Melayu, kata ini digunakan untuk merujuk orang India dari Kalingga. WG Shellabear, yang mengutip pelbagai kata dan kalimat untuk direkodkan dalam Malay-English Vocabulary pada 1912 memberikan makna “keling” dalam kamusnya sebagai “the native of the eastern coast of British India, especially the Telugus and Tamils”. Manakala jika merujuk kamus susunan RO Winstedt, Malay-English Dictionary (1963) kata ini datang dari asal kata negeri Kalingga di India.

Kedua-duanya mengisyaratkan kata “keling” ini sebagai mereka yang berasal dari India di kurun ketujuh. Ulangan: abad ketujuh. Mereka bagaimanapun tidak menyebutkan agama orang Keling justeru Shellabear jika ingin merujuk seorang Tamil Muslim akan menyebutnya sebagai “Keling Islam”.

Kedua-dua wakil penjajah Inggeris ini sebenarnya tidak menciptakan kata tersebut secara semberono. Dalam Sulalat al-Salatin, kata “keling” digunakan 66 kali dalam pelbagai konteks. Sebagai contoh ada disebutkan “benua keling”; “hulubalang keling” iaitu pahlawan dari Kalingga; “rakyat keling” yakni warga Kalingga; “raja keling” iaitu Raja Kalingga; “kain keling” dan “belanga keling” yang merujuk sejenis produk tekstil dan alat dapur yang dihasilkan di Kalingga.

Saya percaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika terlepas menggunakan kata ini sedang menyebutnya secara tidak sedar dalam konteks ini.

Akan tetapi seperti telah saya sebutkan lebih awal, perubahan semantik berlaku. Kata “keling” yang merujuk Kalingga itu perlahan-lahan tidak disukai orang India. Entah bila dan entah siapa mencetuskan kata “keling” itu menjadi sesuatu yang negatif. Mungkinkah ia datang dari kecelaruan dan kebodohan sesetengah kita tidak mengertikan peribahasa ‘bagaikan keling karam’ itu?

Oleh sebab ramai dalam kalangan masyarakat India menyatakan betapa negatif dan kasarnya perkataan “keling” itu, maka Indian Association of Singapore pada 1 Ogos 1921 menuntut penukaran nama Jalan Kling di Singapura. Akhbar The Straits Times mengiklankan notis Municipal Office berjudul “Kling Street-Change of Name”.

Nama jalan itu, sempena tahun baru, diubah kepada Jalan Chulia mulai 1 Januari 1922.

Saya suka makan kuih Telinga Keling. Akan tetapi di tahun 2024 mengambil semangat tahun baru berkait perubahan nama Jalan Kling ke Jalan Chulia pada 1 Januari 1922 itu, saya mengajak semua kita berhenti merujuk kuih Telinga Keling sebagai Telinga Keling.

Tidak perlulah pula kita menjadikannya terlampau dramatik sebagai Telinga Chulia. Lebih munasabah mungkin kerana kuih ini dipelajari orang Melayu daripada masyarakat India masa lalu, kita rujuk ia juga sebagai adhirasam atau kajjaya, atau athrasa, atau ariselu. Untuk orang Melayu cukuplah kita memberi nama lunaknya, peneram. Kata peneram lebih murni dan tidak merujuk kepada mana-mana anggota badan manusia.

Jadikan salah satu azam tahun 2024 anda untuk menggugurkan gelar atau panggilan yang orang lain tidak senangi. Berhenti menggunakan kata yang menyakitkan hati orang. Malah dalam banyak keadaan dan konteks, Melayu Cina India Kadazan Iban ini sudah tidak relevan.

Kita semua orang Malaysia. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.