`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, January 31, 2024

El Nino punca gangguan bekalan air di Langkawi

 

Pekan Kuah antara kawasan di Langkawi berdepan masalah gangguan bekalan air.

ALOR SETAR: Gangguan bekalan air berlaku di beberapa kawasan di Pulau Langkawi berpunca daripada ketidakcukupan sumber air mentah untuk diproses berikutan fenomena El Nino yang melanda negara khususnya di bahagian utara Semenanjung.

Syarikat Air Darul Aman (Sada) dalam kenyataan memaklumkan antara kawasan yang terjejas ialah Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Perana, Bayas, Ulu Melaka, Temoyong, Pantai Cenang, Pantai Tengah dan kawasan sekitar.

“Seperti sedia maklum, musim kemarau panjang dan kering atau nama saintifiknya fenomena El Nino sedang melanda negara kita khususnya di sebelah utara Semenanjung Malaysia.

“Fenomena ini menyebabkan paras air Sungai Melaka di Langkawi semakin menyusut dan ini secara tidak langsung memberi kesukaran kepada Sada untuk memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat oleh pengguna, terutamanya semasa musim cuti perayaan dan persekolahan,” katanya.

Ketika ini menurut Sada, pengeluaran air semua Loji Rawatan Air (LRA) Sada di Langkawi menunjukkan trend penurunan dan hal itu dijangka berlarutan sehingga paras Sungai Melaka kembali normal.

“Pertambahan lokasi kebocoran paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air terawat ke Langkawi dari LRA Sungai Baru (Perlis) turut memberi kesan kepada pengagihan air terawat kepada pengguna,” menurut Sada.

Justeru, syarikat itu menasihati pengguna supaya berhemah menggunakan bekalan air dalam musim kemarau ketika ini yang dijangka berlanjutan.

Langkah berkenaan penting bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan, kata Sada.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan, boleh menghubungi talian hotline Sada di 1300-88-0017 atau Bilik Gerakan Langkawi di 04-9610546. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.