`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 29, 2024

MP bidas Daim: Mahathir lebih dahsyat

Seorang wakil rakyat kerajaan menempelak dakwaan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin bahawa kerajaan melakukan pelbagai salah guna kuasa ke atas musuh politik mereka.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari berkata akta yang dinyatakan seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Perhimpunan Aman lebih banyak disalahkan oleh guna bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ke atas pihak yang menentang kerajaan ketika pentadbirannya.

Taufiq Johari , Ahli Parlimen Sungai Petani

Malah, katanya, pelbagai agensi kerajaan termasuk pihak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut dikerah perdana menteri ke-4 itu bagi menekan musuh politiknya dan menghalang kebebasan rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan.

"Jika diimbau kembali, waktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri kali pertama, akta-akta itu dipergunakan dengan lebih dahsyat.

"Ketika itu, FRU dan polis digunakan untuk mengenakan kekerasan bagi menghalang hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia," kata Taufiq.

Daim yang merupakan bekas menteri kanan serta diketahui sebagai orang kepercayaan Mahathir hari ini menggesa orang ramai bangkit melawan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Daim Zainuddin

Gesaan itu dibuat selepas dia diheret ke mahkamah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta merangkumi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, serta dua akaun dana pelaburan.

Daim dalam kenyataannya mendakwa kerajaan dan Anwar menggunakan akta-akta tersebut dengan sewenang-wenangnya terhadap pihak yang bersuara dan mengkritik kerajaan atau dirinya.

Dia turut membangkitkan persoalan bagaimana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mempunyai kes 47 pertuduhan rasuah boleh dilantik sebagai timbalan perdana menteri

"Kejujuran dan integriti serta tata kelola yang baik telah dilupakan dan SPRM, Jabatan Peguam Negara serta LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dijadikan alat untuk mengejar musuh politik.

"Adakah ini Malaysia baru yang dijanjikan?" soal Daim.

Cabar di mahkamah

Mengulas lanjut, Taufiq menekankan bahawa SPRM adalah sebuah badan bebas dan tidak dikawal oleh mana-mana parti politik atau mana-mana pemimpin termasuk oleh perdana menteri.

Katanya, segala siasatan berprofil tinggi terhadap individu-individu tertentu oleh pihak berkuasa adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan terdahulu.

Oleh yang demikian, Taufiq berkata, jika Daim tidak bersalah, dia boleh mencabar segala tuduhan dan membuktikan kebenaran di mahkamah.

"Daim dan sekutunya sering menyatakan mengenai rule of law dan tidak ada sesiapa pun boleh menjadi lebih tinggi daripada undang-undang (above the law).

"Jika ada bukti kesalahan, maka siasatan akan dibuat pihak berkuasa seperti SPRM, tapi kalau dia rasa tidak bersalah, boleh cabar keputusan itu di mahkamah, itu adalah cara yang terbaik. Sekiranya ada salah laku, maka, proses perbicaraan dan pendakwaan itu akan berlaku.

"Jadi, saya nasihatkan kepada Tun Daim supaya menghormati proses undang-undang dan fokuslah kepada untuk membuktikan anda tidak bersalah," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurutnya, fokus kerajaan hari ini adalah untuk membersihkan sistem pentadbiran terdahulu yang 'kucar-kacir' serta membersihkan individu-individu yang didakwa terpalit dengan kes rasuah.

Taufiq berkata, kerajaan pimpinan Anwar juga tidak pernah menghalang kebebasan bersuara serta perhimpunan aman oleh pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan selagi perkara itu tidak melanggar undang-undang. - Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.