PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 1 Mac untuk keputusan rayuan bekas Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong terhadap sabitan dan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan rotan kerana merogol pembantu rumahnya pada 2019.
Panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas mendengar rayuan berkenaan.
Turut sama bersidang Hakim Azman Abdullah dan Hakim S M Komathy Suppiah.
Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Yong berhujah anak guamnya telah dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.
Beliau berkata pemeriksaan balas yang berkesan tidak dapat dicapai kerana wajah saksi, yang juga mangsa tidak dapat dilihat semasa mangsa memberi keterangan.
“Adalah penting bagi perayu untuk bertemu dan berdepan dengan penuduh (mangsa). Ia adalah hak tertuduh untuk memeriksa balas saksi tanpa halangan.
“Bahasa badan, misalnya, perubahan postur, ekspresi muka, gerak isyarat liar dan perubahan suara secara tiba-tiba adalah sebahagian daripada sikap yang memberikan ujian asid kredibiliti,” katanya.
Hisyam berhujah hakim perbicaraan telah secara salah menggunakan Seksyen 265A Kanun Prosedur Jenayah yang memihak kepada mangsa, iaitu saksi pendakwaan ke-15.
“Peruntukan ini bermula apabila pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk melindungi identiti saksi dan apabila permohonan itu dibuat, mahkamah akan mengadakan inkuiri menerusi kamera tanpa penyertaan tertuduh atau peguamnya.
“Keterangan oleh saksi tidak dapat dilihat dan hanya suara dapat didengar,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Amril Johari berhujah adalah normal bagi mangsa rogol untuk memberi keterangan di mahkamah tanpa berdepan dengan mana-mana pihak kecuali hakim yang mengendalikan perbicaraan itu.
“Perayu mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil adalah tidak benar kerana beliau mempunyai hak untuk memeriksa balas mangsa,” kata Mohd Amril yang turut dibantu oleh TPR Mohd Fuad Abd Aziz.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun dalam bilik di rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 dan 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Yong diberi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi membenarkan Yong dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Wahab Mohamed dalam keputusannya, berkata mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Yong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan difikirkan kemudian. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.