`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 12, 2024

Anwar temu lebih 35 pemimpin industri di Jerman

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin syarikat tenaga, peranti perubatan, semikonduktor, elektronik, automotif, dan aeroangkasa di Berlin. (Gambar Bernama)

BERLIN: Lebih 35 pemimpin industri dan perniagaan menyertai mesyuarat meja bulat dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perdana menteri, yang tiba pada Ahad, mengambil peluang memberi jaminan kepada perniagaan Jerman bahawa Malaysia kekal antara lokasi terbaik dan pilihan pelabur.

Syarikat daripada ekonomi terbesar dunia itu yang hadir pada sesi tersebut terlibat dalam sektor seperti tenaga, peranti perubatan, semikonduktor, elektronik, jentera, automotif, dan aeroangkasa.

Antara yang menghadiri mesyuarat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Siemens AG Roland Busch, CEO B Braun GmbH Anna Braun, dan CEO Melexis Marc Biron.

Turut hadir Presiden Airbus Asia Pacific Anand Stanley dan Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia Susanne Lehmann, dan Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG Rutger Wijburg.

Selain itu, wakil dari Dewan Perniagaan Jerman, Dewan Perniagaan Malaysia-Jerman, dan Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW).

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Pada masa ini, terdapat lebih 700 syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia, mewujudkan 65,000 pekerjaan.

Jerman telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah sejak 2000, manakala Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara-negara anggota Asean.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman naik 5.9% kepada RM63.45 bilion (USD13.90 bilion) daripada RM59.87 bilion (USD13.62 bilion) pada 2022. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.