`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 25, 2024

Ucapan Krismas

 

Mohsin Abdullah

Di Indonesia rata-rata ia dipanggil Natal. Katanya begitu juga dalam kalangan orang Kristian di Borneo khususnya mereka yang menggunakan bahasa Melayu bagai bahasa ibundanya. Di Semenanjung ia disebut Krismas. Mengapa perbezaan nama? Saya tidak tahu. Apa bezanya? Tiada beza. Ia perayaan sama.

Hampir setiap tahun di Semenanjung (saya tidak pasti jika ia terjadi juga di Sabah dan Sarawak) timbul retorik sekali gus polemik dalam kalangan umat Islam – sama ada mereka boleh mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada penganut Kristian yang menyambut perayaan Krismas.

Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan polemik demikian tidak timbul. Atau mungkin saya sahaja yang tidak dengar. Yang saya ingat paling terbaru ia tercetus ialah pada 2018. Antara ustaz atau orang disifatkan sebagai agamawan yang melarang umat Islam memberi ucapan Krismas ialah Muhammad Khalil Hadi. Waktu itu beliau ketua Pemuda PAS. Beliau ialah anak Hadi Awang presiden PAS.

Khalil dipetik Sinar Harian berkata sambutan ‘hari raya Krismas’ mempunyai unsur bertentangan dengan ajaran Islam. Panjang lagi hujah beliau yang saya tidak berhasrat mengulanginya di artikel ini.

Yang ingin saya perkatakan ialah baru-baru ini timbul semula polemik ini. Dalam satu kumpulan celoteh WhatsApp yang saya turut menganggotai tersiar satu video yang memaparkan dua individu berserban dan berjubah ‘menasihati’ umat Islam jangan ucap ‘Merry Christmas’. Sebab dan alasan sama dengan apa yang disuarakan ustaz tahun-tahun sebelum termasuk hujah Khalil.

Seperti lazim dalam kumpulan WhatsApp tidak tahu siapa yang menerbitkan video. Tahu-tahu sudah ‘diforwardkan’. Siapa yang mula ‘forward’ Wallahuaklam. Tidak pasit sama ada itu video lama atau baru.

‘Merry’ bermaksud riang. Pada pemahaman saya ucapan ‘Merry Christmas’ membawa maksud Krismas yang riang. Berbahasa Melayu ia akan jadi Selamat Hari Krismas. Ini ucapan selamat. Mungkin ini yang golongan agamawan tertentu tidak senang kerana pada hemat mereka umat Islam memohon ‘keselamatan’ buat perayaan Kristian. Saya ulangi mungkin begitu.

Saya petik akhbar Kosmo bertarikh 22 Dis 2024 yang melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendirian umat Islam boleh mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada penganut agama Kristian kerana hukumnya harus dengan tiga syarat. Sebenarnya pada tahun-tahun terdahulu sudah ada juga penjelasan seperti ini. Saya pernah membaca penjelasan sama oleh beberapa mufti dahulu.

Menerusi hantaran X Jakim menjelaskan tiga syarat dimaksudkan ialah niat untuk muhibah dan tidak berniat mengiktiraf atau membenarkan kepercayaan agama lain. Seterusnya tidak menggunakan simbol dan lambang keagamaan.

Saya sendiri sejak di bangku sekolah sering memberi ucapan perayaan Krismas (dan lain perayaan bukan Islam). Begitu juga ramai orang Melayu Islam. Sememangnya kami memberi ucapan dengan niat muhibah. Apa lagi dalam Malaysia yang rakyatnya berbilang agama dan bangsa. Tidak pula kami menukar agama dan tidak pernah menggunakan simbol. Jika bercakap mengenai Kristian tentulah simbol yang dirujuk ialah salib.

Saya terima juga satu video tempoh hari memaparkan seorang agamawan Indonesia. Ini video lama kerana saya pernah menontonnya sebelum ini. Meskipun lama ia tetap relevan dan menarik. Agamawan berkenaan memberi ucapan di majlis Krismas di gereja.

Antara kandungan ucapannya ialah beliau menganggap orang Kristian ‘partner’ beliau dalam melakukan kebaikan. Katanya sebagai pendakwah dalam Islam beliau harus mendorong orang Islam soleh, baik, taat dalam keislamannya dan beliau juga harus mendorong orang Kristian soleh, baik, taat dalam kekristianannya ‘kerana kalau masing masing baik tidak akan ada terjadi konflik’.

Saya hairan hanya ucap ‘Merry Christmas’ dijadikan isu tetapi ucapan perayaan agama lain tidak. Kata Khalil pada 2018 menerusi kenyataannya yang saya sebut tadi sambutan hari kebesaran agama lain yang bersifat budaya dan bukan melibatkan soal akidah boleh diraikan seperti Tahun Baharu Cina. Ertinya Deepavali, Thaipusam dan Wesak juga tidak boleh diberi ucapan selamat kerana memang ada unsur keagamaan. Tetapi tidak dihebahkan. Tidak seperti ‘Merry Christmas’. Bagi saya umat Islam harus bebas memberi ucapan untuk semua tanpa menjejaskan akidah.

Sesungguhnya Krismas dikaitkan dengan agama. Penganut Kristian percaya Jesus Christ dilahirkan pada hari Krismas lalu ia disambut setiap tahun bagi memperingati kelahirannya. Namun, lama-kelamaan Krismas saban tahun berubah atau diubah oleh pihak tertentu dengan membawa watak dongeng Santa Claus dan elemen komersial. Ertinya musim Krismas masa untuk buat duit dengan menjual pelbagai barangan dikaitkan dengan Krismas tetapi tidak ada elemen Jesus dan agama.

Dua hari lalu dalam kumpulan WhatsApp rakan bekas ‘schoolmate’ saya tersiar video laporan Great Britain News. Ini video tahun ini. Menerusi laporan itu penyampai berita Ben Leo bertanya penonton sama ada mereka berasa ‘Christmas is erased?’ Beliau memberi contoh satu ‘Christmas Market’ di London yang beliau lawati dinamakan ‘Winter Get Together’ dan tiada elemen Kristian. Malah perkataan Christmas itu sendiri tidak digunakan di papan tanda dan sebagainya. ‘Instead of Merry Christmas people are saying Happy Holidays’.

Pihak gereja kecewa Krismas ‘dihijack’ dan unsur keagamaan semakin dihakis khususnya di barat. Namun, sambutan Krismas mengikut tradisi agama dilakukan tentulah di Vatican City dan Baitulmaqdis di mana orang Kristian percaya tempat Jesus dilahirkan. Di Malaysia khusus Sabah, Sarawak juga Melaka Krismas diraikan secara Kristian walaupun unsur Krismas komersial tetap ada.

Bercakap semula mengenai ‘fatwa’ sesetengah orang Islam. Kata agamawan Indonesia yang saya sebut tadi ‘mereka mengharamkan mengucap selamat Natal kerana kalau mengucapkan selamat Natal besok jadi Kristen’.

Lalu berkata beliau: “Saya setiap 10 Nov mengucapkan selamat Hari Pahlawan besoknya saya tidak jadi Avengers.” Di Indonesia setiap 10 Nov ialah hari memperingati peristiwa pertempuran Surabaya menentang Belanda. Sekali gus 10 Nov ialah Hari Pahlawan.

Dan kata si agamawan itu lagi: “Minggu lalu saya mengucapkan selamat menikah kepada teman saya yang hajatan besoknya saya tidak jadi pengantin.”

Bagi semua penganut Kristian saya ucapkan Merry Christmas. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.