`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 25, 2024

Van jenazah Abam Botak ‘buta agama’, bantu ‘perjalanan akhir’ golongan daif

 

Free Malaysia Today
Pasukan van jenazah Abam Botak membantu menyediakan perkhidmatan jenazah secara percuma walaupun berlainan agama. (Gambar Facebook Abam Botak)

PETALING JAYA
Bila berbicara soal kemanusiaan, jangan pernah berkira. Bantu dahulu tanpa kira agama dan bangsa.

Itu pegangan Yunizam Yusop, pengasas van jenazah Abam Botak berpangkalan di Sandakan, Sabah, yang membantu mempermudahkan waris kepada insan meninggal dunia dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma.

Biarpun semuanya beragama Islam, pasukan itu tidak pernah menolak permintaan bantuan daripada waris agama lain memerlukan bantuan menguruskan penghantaran jenazah insan tersayang mereka meskipun melalui perjalanan beratus kilometer.

Mula mencurah bakti sejak enam tahun lalu, Yunizam masih ingat perjalanan menghantar jenazah individu beragama Kristian dari Sandakan ke Kampung Sinaron Tengah terletak di pekan kecil Sook, Keningau, Mei lalu yang disifatkannya mencabar.

Free Malaysia Today
Jalan berbukit tidak berturap dilalui pasukan van jenazah Abam Botak ketika menghantar jenazah individu beragam Kristian dari Sandakan ke Sook, Keningau, Mei lalu. (Gambar Facebook)

Bukan hanya jarak jauh, van itu juga terpaksa melalui jalan berbukit tidak berturap selain meredah arus sungai. Ketiadaan rangkaian telekomunikasi yang baik juga menyebabkan perasaan bimbang sentiasa menyelubungi mereka jika sesuatu berlaku.

Yunizam Yusop
Yunizam Yusop.

“Banyak juga kenderaan besar beri isyarat kepada kami supaya berpatah balik. Mungkin sebab kesukaran itu tiada yang sanggup menghantar jenazah, tetapi itu bukan alasan kerana selagi van wakaf (sumbangan) ini boleh berjalan…kami bantu.

“Melihat wajah waris sedih, kami teruskan perjalanan…urusan itu berjaya diselesaikan selepas 17 jam mengharungi cabaran,” kongsi Yunizam, 36, kepada FMT sambil mengakui pernah ditegur kerana menghantar jenazah bukan Islam.

“Kami terima dengan baik dan jelaskan niat hanya mahu orang susah tanpa mengira agama dan bangsa, jadi supaya tidak terlalu sensitif kami tidak letak ayat suci al-Quran pada van.

“Rata-rata waris kami bantu datang daripada keluarga miskin, jadi kami kurangkan beban mereka dengan sumbangan insan prihatin…bukan sahaja kewangan tetapi ada beri set kelengkapan pengurusan jenazah,” katanya memaklumkan mereka kini mempunyai enam kenderaan.

Beri makan gelandangan

Sebelum menyediakan penghantaran jenazah secara percuma, Yunizam sebenarnya sudah memulakan kerja amal pada 2013 dengan memberi makan kepada gelandangan dan ‘sekolah’ pondok untuk mengajar golongan kurang bernasib baik seperti individu tanpa warganegara.

“Saya guna duit gaji beli makanan dan tampung bayaran untuk sukarelawan jadi ‘cikgu’,” katanya bekerja sebagai penyelia di syarikat perladangan.

Beliau kemudian menyediakan perkhidmatan percuma menghantar pesakit daripada keluarga kurang berkemampuan ke hospital di Sandakan yang menjadi titik-tolak dalam menyediakan van jenazah.

“Ketika itu seorang daripada pesakit selalu dihantar meninggal dunia dan sukar mencari van jenazah, lantas saya terfikir alangkah baik jika ada disediakan untuk membantu golongan kurang memerlukan,” katanya.

Kepuasan kerja amal

Yunizam mengakui kerja amal itu memenatkan tetapi kepuasan melihat wajah lega mereka yang dibantu, segala kepenatan hilang kerana usaha pasukannya diperakui ramai sehingga segala urusan menjadi mudah.

“Rezeki datang pelbagai bentuk dan balasan, contoh ada orang bayarkan isi minyak van jenazah…ada juga belanja makan secara diam-diam.

“Mungkin inilah rezeki kami,” katanya.

Segala aktiviti pasukan van jenazah Abam Botak boleh dilihat di Facebooknya yang turut menyertakan cara membantunya meneruskan kerja amal itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.