PETALING JAYA: MCA menyeru ahlinya menghadiri himpunan yang akan diadakan pada 6 Jan ini bagi menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
MCA berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai himpunan itu oleh Umno dua minggu lepas, dan ahlinya dijangka mengambil bahagian.
“MCA menyeru kepada para pemimpin dan ahli-ahli semua peringkat supaya dapat bersama-sama menyertai himpunan aman ini nanti bagi menegakkan keadilan dan menuntut kebenaran.
“MCA menuntut kerajaan berterus terang, jika ada (titah adendum), katakan ada; jika tiada, katakan tiada,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Himpunan itu dijadual diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mengenai titah adendum yang dikatakan membenarkan dia menjalani tahanan di rumah.
Najib mendakwa titah adendum itu dikeluarkan seiring keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memendekkan hukuman penjara 12 tahunnya kepada enam tahun dan mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Bekas presiden Umno itu kini sedang dipenjarakan berikutan sabitan kesalahan rasuah dalam kes SRC International.
Semalam Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, ribuan ahli parti itu akan menghadiri himpunan itu.
Katanya, himpunan itu ‘melangkaui parti dan politik perkauman’ dan bertujuan mendapatkan keadilan untuk Najib berkait titah adendum.
Dilaporkan pada 27 Dis bahawa PAS akan mengadakan himpunan solidariti pada 6 Jan ini di Istana Kehakiman, Putrajaya, sebagai tanda sokongannya terhadap Najib, menurut surat dikeluarkan oleh setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, kepada ahli parti.
Beberapa hari kemudian, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi dipetik sebagai berkata, Umno juga sudah merancang perhimpunan lebih awal sebelum PAS mengeluarkan surat mengenai perkara itu kepada ahlinya.
Lebih 200 bas sarat dengan penyokong Najib, terdiri daripada ahli Umno dan PAS, dijangka akan tiba pada himpunan bermula 9 pagi itu.
Pemimpin Bersatu juga dijangka hadir. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.