Cerpen 'Cerita Awang Putat' papar 'kerumitan Melayu'. Sudah tahu Putat itu tidak berguna, dia diberi kepercayaan memimpin masyarakat dan bila mati diberi penghormatan. Semua jenayah tidak dipedulikan. Yang disebut ialah jasa padahal dia Putat.

Ada sebuah cerpen pendek dalam sastera Melayu, yang agak panjang juga, dengan judul ‘Cerita Awang Putat’ oleh tokoh wartawan dan nasionalis Melayu, Abdul Rahim Kajai, atau nama sebenarnya Abdul Rahim Salim. Beliau lebih dikenali sebagai ‘Kajai’ sahaja, merupakan orang Minang kelahiran Setapak di Kuala Lumpur. Beliau hidup di era perang, dan sebelum kemerdekaan.
Saya berpandangan ‘Cerita Awang Putat’ antara cerpen yang rumit, dan paling tepat dalam menggambarkan ‘kerumitan’ orang Melayu. Sayugia diingat cerpen ini dikarang pada 1941, dan menurut saya dipersembahkan secara bersiri. Kisahnya bertempat di sebuah kampung di Pahang, bernama Tenong dalam daerah Temerloh. Ia antara cerpen yang sangat cantik merakam latar desa Melayu, siap dengan watak-watak yang kompleks dan penuh pertentangan.
Naratif utama cerpen ini seputar protagonis bernama Awang Putat, lebih senang dipanggil Putat. Tenong sebuah kampung di pinggir sungai yang aman dan tenang dipenuhi masyarakat tani dan nelayan. Tatkala itu orang Melayu juga sudah pandai menanam getah selain tentunya padi.
Apabila sekolah Melayu dibuka, kanak-kanak lelaki semua dipaksakan mendaftar. Seorang guru berbangsa Jawi Peranakan (atau mamak) bernama Majid Syah dihantar mengajar di sini. Antara kanak-kanak yang dipaksakan belajar ini adalah Putat, yang dianggap sebahagian dari ‘budak-budak lasak’. Ia mungkin ungkapan yang digunakan pada zaman itu untuk anak-anak nakal. Budak-budak ini misalnya menipu di kedai runcit Cina yang dibuka oleh Ah Kau, misalnya membeli bepang harga tiga keping tetapi mengambil lima, mencuri kuih kacang, meninju Ah Kau yang menghukum rakan mereka yang tertangkap dan sebagainya.
Masa berlalu, Putat meremaja dan mengingini seorang gadis sunti anak Pendekar Cholin yang nampaknya baik dengan Ah Kau. Sebagai remaja dia mengintaikan anak dara pendekar itu iaitu Cik Teh dan Cik Yang, tetapi dalam kepalanya lebih menjurus kepada Cik Teh. Sepanjang masa berlalu, Ah Kau kian membesarkan perniagaannya, menyewa tanah, membuka kebun sayur, menternak babi, membawa masuk lebih ramai kuli Cina; dan itu semua dimudahkan oleh penghulu, dan Pendekar Cholin ini.
Putat kurang senang dengan perkembangan ini, iaitu masuknya Cina di kampung Melayu. Pun dia tiada kerja dan tidak berbuat apa. Sebagai penganggur memang dia tidak boleh bersaing dengan Hamid Syah, adik kepada Majid Syah yang tiba dari Pulau Pinang. Malah masjid pun sudah beralih pengurusan ke tangan Hamid. Yang lebih menyedihkan buat Putat apabila Hamid mengahwini Cik Teh. Putat kecewa ‘kalah’ begitu.
Putat kemudiannya senang menjadi ‘ketua’ budak-budak Melayu penganggur. Dia pantang melihat Melayu dihukum kerana membunuh babi Ah Kau, dengan alasan kalau kerbau milik orang kampung dikelar kerana menceroboh, mereka tidak pun dihukum atau disaman. Rasa iri hati Putat kepada kemajuan Ah Kau, dan Hamid Syah membuak-buak. Ini membawa kepada perbuatan biadab, Putat menggoda Cik Teh, isteri Hamid Syah.
Perangai Putat makin menjadi-jadi, dia mulai menjadi ketua kepada pemuda-pemuda kampung Melayu yang tidak guna. Pemuda-pemuda Melayu yang ingin kesenangan dalam hidup, ingin selesa dan mudah-mudah saja diberi tongkat. Meskipun malas mereka perasan mereka patut diberi kelebihan, kerana maklumlah mereka anak jati kampung Tenong. Kajai menggambarkan pemuda Melayu ini sebagai kutu embun, dan Putat pemimpinnya. Bukan sahaja malas, budak-budak ini berjudi membuat jahat, tetapi oleh kerana mereka sering ke masjid dan surau, marah golongan tua terhadap mereka agak lunak.
Semakin lama Putat semakin teruk berperangai, Cik Teh sempat ditariknya dalam semak dan dicabul. Memang Pendekar Cholin bapa Cik Teh pun banyak berhutang dengan Ah Kau, dan kini tanah mereka hampir tergadai.
Persaingan Putat dan Hamid Syah makin sengit. Putat yang galak melindungi kutu berjudi ditahan polis dan diarak di depan kedai Ah Kau. Oleh sakit hati, Putat membalas pula terhadap Hamid Syah. Barisan susunan Putat ini sudah menjadi seperti kongsi gelap. Dengan mengetahui rahsia Hamid Syah membuntingkan Cik Yang, berlaku ugut-mengugut membawa kepada perceraian Hamid dengan Cik Teh. Dalam masa yang sama, perikatan Putat dan kawan-kawan membuat onar membakar kedai Ah Kau, sehingga Cina itu jatuh muflis dan gila.
Oleh Cik Teh yang berasa dirinya sudah bebas menjanda, dia pun kembali kepada Putat tetapi Putat dengan terang-benderang menolak huluran cinta Cik Teh dengan penuh hina, dan menjelaskan apa yang dilakukan hanyalah balas dendam. Memang absurd. Sekejap cinta sekejap benci, semua terjadi mendadak. Cik Teh yang meroyan kemudian membunuh bekas suaminya Hamid Syah. Cik Teh dipenjarakan. Apabila bebas tiga tahun kemudian, Putat menanti pula untuk memperisterikannya.
Kejap mahu kejap tidak maka ketika itu Cik Teh pula menolak cinta Putat dan Putat bersumpah tidak akan berkahwin dan akan mendedikasikan hidupnya berbakti kepada Tenong. Demikianlah juga Cik Teh bersumpah akan menjadi janda, dan berbakti kepada kaum wanita Melayu di desa tersebut. Ramailah wanita Melayu beroleh ilmu niaga dan kraf.
Apabila mati, kedua-duanya ditanam bersebelahan, dan kubur mereka lama-kelamaan diziarah orang. Nama Putat dan Cik Teh menjadi keramat dan dipuja diabadikan sebagai ikon. Padahal kedua-duanya bukanlah layak diseru.
Cerpen ini seolah di luar kewarasan real kehidupan tetapi memang itulah cerita Melayu. Sedikit dengki, sedikit berdendam, kejap berkawan dengan Cina, kejap bermusuh dengan Cina, kena main dengan Mamak, memperdayakan pula Mamak bagi kena main. Apa pun meski tidak guna, tetap menjadi sanjungan Melayu segelintir yang bolos, menguasai masjid, mengugut surau, bermain puak, manipulasi kuasa dan meskipun berbuat jenayah seperti membakar kedai orang, dan memecah-belahkan rumahtangga; yang tetap sedap ialah Putat tidak dianggap orang jahat. Putat malah disantokan, atau dalam tradisi Melayu-Islam diwalikan.
Perihal penjenayah diangkat bos dan sumpah nazar karut yang membawa kepada pengkultusan ini menjadi mesej luar biasa kuat dalam ‘Cerita Awang Putat’. Saya sungguh yakin Kajai menyindir Melayu dengan begitu halus dan tajam. Malah, WR Roft, seorang sarjana Barat yang melakukan penyelidikan tentang dunia persuratkhabaran dan majalah Melayu dari tahun 1941 hingga 1976, mensifatkan Kajai sebagai “the most brilliant of all Malay journalists”. Dengan pandai begitu Kajai memang pandai menilai Melayu.
Saya tidak fikir pemimpin Melayu hari ini yang rata-rata malas membaca dan buta sastera budaya ada membaca cerpen panjang luar biasa lagi menarik ini. Akan tetapi saya juga amat yakin Kajai, seorang wartawan Melayu yang berpengalaman, telah pun menilai perihal cara hidup dan bagaimana kepala otak Melayu bekerja. Melayu dulu dan sekarang sedikit lebih kuranglah.
Cerpen ini memaparkan ‘kerumitan Melayu’, sudah pun tahu Putat itu tidak berguna, kaki kutu dan tukang buat huru-hara; Melayu tetap memberi Putat kepercayaan mentadbir masjid, memimpin masyarakat dan bila mati ia bahkan diberi penghormatan mulia. Semua jenayah Putat tidak dipedulikan langsung. Yang disebut ialah jasa Putat, jasa dan jasa. Lagi-lagi jasa, padahal dia Putat.
Matinya ditangisi, menghina nama Putat dengan cepat membakar emosi penduduk kampung. Putat kaki bakar, tetapi Putat jugalah wira. Tak apalah pecah kapal, meskipun sebenarnya kampung Tenong itu pecah tongkang pun kerana Putat. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.