`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, December 25, 2025

Satira oh satira

Saya rasa DAP tidak akan lakukan apa-apa yang foolish dalam menghadapi dilema sekarang.

Mohsin Abdullah

Wan Hamidi Hamid kawan lama saya. Beliau wartawan pengalaman luas, penulis buku, aktivis, pencinta seni dan bermacam lagi. Beliau juga penggemar muzik punk rock — UK Subs dan Bad Religion antara band favourite beliau. Sikit lagi lupa nak kasitau, Hamidi orang DAP. “Ahli biasa je,” kata beliau.

Tempoh hari satu hantarannya di Facebook mendapat perhatian saya. Mengenai perbualan beliau dengan seorang kawan. Saya coretkan di sini hampir word for word. Saya rumuskan ia berkisar soal politik. Si kawan mulakan perbualan dengan bertanya, “DAP nak keluar kerajaan Madani?”

Hamidi jawab dengan bertanya: “pasai apa DAP nak keluaq”. Hamidi orang Tanjung so beliau cakap lagu tu.

Si kawan balas dengan penuh yakin. Katanya sebab DAP kata PMX hanya utamakan Melayu dan Islam. Sebab DAP kata Umno dan BN selalu serang DAP. DAP dah bagi amaran kat PMX supaya tunai janji reformasi dalam enam bulan.

Hamidi tanya balik: “Betoi ke DAP ugut macam tu?” Si kawan angguk, Hamidi terdiam. Kawannya terus cakap pasal surat Lim Guan Eng buat 10 tuntutan kepada PMX. Keras bunyi desakan itu, kata si kawan.

Hamidi terus diam. Kawan pun diam tetapi beberapa saat kemudian Hamidi dapat ilham dan jawab, “DAP memang boleh keluaq kerajaan kalau dia nak. Tapi takkan nak keluaq sebab koyak dikutuk Umno. Tak macho la macam tu.”

“Satu lagi aku rasa belum sampai titik penentu atau cut off point yang mana majoriti ahli DAP rasa DAP patut keluaq kerajaan. Atau lebih penting lagi tak semua pengundi DAP mau DAP tinggalkan PMX sekarang.”

Kawannya diam seketika sebelum tanya lagi: “OK tapi maksudnya kalau bukan sekarang suatu hari nanti DAP tak keberatanlah nak tinggalkan kerajaan Madani?”

Dengan yakin pertanyaan itu dijawab Hamidi: “Ya. Tapi hanya apabila DAP betoi-betoi sampai titik yang mana DAP dan para penyokongnya rasa depa have nothing to lose barulah depa akan buat keputusan.”

“Kalau setakat kena ejek, kena perli dan hati terasa disakiti, jiwa terasa diusik takkan nak merajuk sampai nak heret parti keluaq kerajaan.”

Tiba-tiba si kawan tanya, “kalau Umno yang keluar kerajaan Madani?” Tajam tu. Cukup setakat ini walaupun banyak lagi disajikan. Yang berminat sila lawati Facebook Wan Hamidi.

Yang dicatat hanya satu satira. Sebenarnya Hamidi pada awal catatan sudah beritahu ia “sebuah cerita rekaan pendek tentang politik Malaysia yang tak banyak berubah sejak sedekad lalu.” Memang benar tak banyak berubah.

Lihatlah keadaan yang menimpa DAP. Sekian lama diejek, diperli, hatinya disakiti. Saya tambah dilempar pelbagai tuduhan. Contoh peristiwa berdarah 13 Mei 1969 DAP dipersalahkan.

Sejak itu DAP dituduh anti-Melayu dan anti-Islam. Sekarang begitu juga. Oleh itu menurut saya, satira tadi bukan kelakar biasa-biasa. Sarat dengan mesej. Apabila pemimpin DAP dilantik sebagai menteri, ia dikaitkan oleh musuh politik dengan elemen ras — konon Cina akan kuasai negara, Melayu ditindas, Islam dihapus.

Yang masih menjadi isu sekarang ialah kekalahan DAP di PRN Sabah tempoh hari. Kekalahan teruk itu bagai dunia nak kiamat bagi DAP. Ini gambaran dilakar musuh tetapi DAP pun panik maka timbullah ‘kata dua’ kepada PMX yang disebut dalam satira tadi.

DAP tidak boleh dilihat penyokongnya sebagai lembik dan parti kow tow. Dalam kekalutan DAP pusat lupa mereka dan DAP Sabah ada beza. Beza atau sama tetapi menurut laporan Malaysiakini 19 Disember lalu, ramai penyokong DAP yang berpaling tadah pada PRN Sabah dipetik berkata keputusan tidak undi DAP adalah sesuatu yang perit tetapi terpaksa.

Diberitakan mereka tidak gembira DAP kalah di Sabah tetapi berasa terpaksa ambil keputusan tidak mengundi parti itu atas beberapa sebab. Yang utamanya ialah DAP telah bersekutu dengan Gabungan Rakyat Sabah yang ramai antara mereka kaitkan dengan ‘budaya politik kotor’. Jadi bolehlah dipercayai isu DAP pusat dengan DAP Sabah tidak sama.

Oleh itu apabila musuh politik bagai nak rak riuh rendah, gegak gempita, hiruk pikuk berikutan kekalahan DAP Sabah, apa hal DAP pusat kelam kabut, terutama penyokong di Semenanjung yang desak DAP buat macam-macam sebelum dilenyapkan.

Apabila Anwar Ibrahim melakukan rombakan Kabinet pada 16 Disember lalu, ada penganalisis berpendapat DAP kerugian. Terkesan dengan prestasi buruk di Sabah, DAP dilihat semakin terhakis pengaruh dalam kerajaan persekutuan.

Sebagai contoh, kata mereka, dua menteri DAP dipindahkan ke portfolio yang dianggap kurang penting. Benarkah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kurang penting? Adakah menjadi menteri Wilayah Persekutuan juga tidak penting? Lalu mengapa sang politikus Melayu tetap lihat DAP ancaman ke atas politik mereka lantas terpaksa tiup sentimen Melayu?

Ancaman besar terhadap DAP ialah jika sendiri kalut dalam usaha mahu tunjuk taring dan dapatkan semula sokongan masyarakat Cina. Menunjukkan ‘kecinaan’ langkah ke belakang, mengambil kira DAP bersusah payah menonjolkan imej kemalaysiaan bagi membuktikan ia parti pelbagai bangsa.

Menunjukkan ‘kecinaan’ akan hanya beri peluang kepada musuh bermain sentimen ras dengan lebih kuat, di samping peluang menggambarkan DAP sebagai chauvinist Cina. Usaha DAP dalam kalangan Melayu sehingga kini akan dipersia-siakan.

Satu contoh kecil yang saya kagumi ialah kemenangan pemimpin Melayu dalam pemilihan DAP pada Mac. Selain itu, Syahredzan Johan menang Parlimen Bangi pada PRU 2022 dengan bergaya, meraih 141,568 undi untuk menang dengan majoriti 69,701 undi. Ini menakjubkan kerana beliau bertanding dalam kawasan majoriti Melayu atas tiket DAP.

Mungkin orang boleh kata it’s the man, not the party. Namun the fact is the party is DAP, parti yang ramai orang Melayu dakwa parti Cina anti-Melayu. Oleh itu saya rasa DAP tidak akan lakukan apa-apa yang foolish dalam menghadapi dilema sekarang.

Berbalik kepada satira tadi. Saya lanjutkan menerusi WhatsApp kepada seorang kawan lama untuk beliau hayati. Kata si kawan lama: “I don’t know if it’s a satire or not but the message seems real. But then again who knows?”.

Respons saya: “Aku rasa mesej tu real, bro.”

Cukup cerita politik. Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan Merry Christmas kepada semua penganut Kristian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.