`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, December 27, 2025

PH ‘putus harapan’ di Perlis jika PRN awal, kata Rafizi

Bekas timbalan presiden PKR berkata gabungan itu mungkin akan kalah kerusi tunggal, Indera Kayangan berdasarkan keputusan PRN Sabah lepas.

FORUM AWAM : INTEGRITI KEHAKIMAN-PAUM
Rafizi Ramli berkata beliau melihat ketidakpuasan hati pengundi di Semenanjung lebih besar berbanding di Sabah.
PETALING JAYA:
 Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Harapan (PH) bakal berada dalam situasi kalah-kalah sekiranya PRN Perlis diadakan dalam masa terdekat berikutan kemelut politik yang melanda negeri itu.

Beliau berkata, kerusi tunggal yang dimenangi PH di Perlis iaitu Indera Kayangan kini berada dalam zon bahaya berdasarkan analisis keputusan PRN Sabah pada 29 Nov lepas, meskipun kawasan tersebut mempunyai komposisi 60% Melayu dan 40% bukan Melayu.

“Sebenarnya ketidakpuasan hati lagi besar di Semenanjung berbanding di Sabah.

“Sekiranya ‘mood’ pengundi Cina sama seperti di Sabah dan jumlah keluar mengundi hanya sekitar 40%, PH mungkin hanya mendapat 50 hingga 60% daripada undi tersebut. Ini bermakna Indera Kayangan tidak lagi selamat,” katanya menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri, malam tadi.

Khamis lalu, Adun Sanglang Shukri Ramli daripada PAS meletak jawatan menteri besar Perlis selepas tiga tahun menggalas amanah itu atas alasan faktor kesihatan.

Peletakan jawatannya menyusuli tindakan lapan Adun Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau menerusi akuan berkanun (SD) diserahkan kepada Raja Perlis, minggu lalu.

Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.

Presiden PAS Hadi Awang memaklumkan keahlian tiga Adun berkenaan, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Hadi turut menyerahkan kepada Bersatu sama ada mahu mengambil tindakan disiplin terhadap lima Adun parti itu yang menarik sokongan terhadap Shukri sebagai menteri besar Perlis, sambil menegaskan kepentingan solidariti politik.

Mengenai PRU pula, Rafizi berkata Umno dijangka menjadi penerima manfaat terbesar jika PN terus bergolak dan ‘berpecah belah, memandangkan hampir 40% pengundi PN adalah bekas pengundi parti itu.

“Kalau Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) masih belum ada strategi untuk mengukuhkan sokongan di bandar, pengundi bukan Melayu dan pengundi PH yang asal, pengundi PN tidak akan ‘swing’ kepada PH walaupun gabungan itu bergelora begini.

“Umno yang menjadi penerima manfaat utama jika parti itu berhati-hati,” katanya sambil menambah kebangkitan semula Umno bergantung kepada cara parti itu mengemudi isu-isu sensitif, termasuk kes mahkamah bekas perdana menteri Najib Razak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.