`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, December 27, 2025

Video jenayah tular cetus ketakutan masyarakat, kata penganalisis

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim kata kadar jenayah masih terkawal tetapi penggunaan telefon pintar punca banyak kejadian dirakam dan ditularkan.

Kamal Affandi Hashim
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata perkongsian rakaman tanpa konteks dan data sebenar boleh membentuk persepsi bahawa jenayah semakin tidak terkawal, sedangkan ia tidak mencerminkan realiti sebenar. (Gambar Facebook MBIP)
PETALING JAYA:
 Penularan video jenayah di media sosial mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat, walaupun kadar jenayah sebenar dilaporkan kekal relatif stabil sejak beberapa dekad lalu, kata penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim.

Kamal berkata landskap jenayah negara tidak banyak berubah sejak era 80-an, namun peningkatan pemilikan telefon pintar menyebabkan lebih banyak kejadian dirakam dan ditularkan.

“Yang berubah bukan jenayah, tetapi cara ia dipaparkan. Hari ini hampir semua orang boleh merakam dan menyebarkan sesuatu dalam masa singkat,” katanya kepada FMT.

“Perkongsian rakaman tanpa konteks dan data sebenar boleh membentuk persepsi bahawa jenayah semakin tidak terkawal, sedangkan ia tidak mencerminkan realiti sebenar,” katanya kepada FMT.

Katanya, penularan video jenayah juga boleh mengganggu siasatan apabila rakaman disebarkan terlebih dahulu berbanding disalurkan kepada pihak berkuasa.

“Dalam banyak kes, pelaku menjadi lebih dikenali berbanding mangsa. Ini secara tidak langsung memberi publisiti kepada penjenayah,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Liley Afzani Saidi berkata media sosial kini menjadi pembentuk utama persepsi keselamatan awam.

Liley Afzani Saidi
Liley Afzani Saidi.

“Pendedahan berulang kepada video jenayah boleh mencipta ilusi bahawa kejadian tersebut kerap berlaku walaupun kadar sebenar tidak meningkat secara signifikan.

“Apabila video ditularkan tanpa kronologi dan pengesahan, masyarakat cenderung membuat kesimpulan berdasarkan emosi,” katanya.

Menurutnya, fenomena itu disifatkan sebagai ancaman keselamatan bukan tradisional kerana ia memberi kesan kepada psikologi dan rasa selamat masyarakat.

Katanya, kandungan sensasi di media sosial lebih mudah menarik perhatian orang ramai berbanding penjelasan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai kejadian itu.

Menurutnya, keadaan itu sekali gus mempengaruhi cara masyarakat menilai tahap keselamatan dengan hanya berpandukan kepada kejadian di media sosial.

Bagi mengekang isu itu, beliau menegaskan perlunya keseimbangan antara kebebasan berkongsi maklumat dan tanggungjawab sosial dalam penggunaan media sosial. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.