Presiden Persatun Pengusaha Stesen Minyak Khairul Annuar Abdul Aziz berkata bekalan di stesen tertentu terjejas kerana kesan limpahan jangka pendek apabila stesen berdekatan kehabisan stok.

Presiden Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata secara operasi, pengagihan bahan api ke stesen minyak diuruskan oleh syarikat minyak masing-masing melalui rantaian bekalan mereka sendiri.
“Ini termasuk pengurusan depot dan logistik lori tangki, dengan setiap jenama bertanggungjawab terhadap perancangan inventori serta jadual penghantaran mereka,” katanya kepada FMT ketika mengulas laporan mengenai beberapa stesen minyak yang didakwa ‘hampir kehabisan’ bekalan.
Beliau berkata, Pdam tidak berhasrat membuat sebarang spekulasi berkaitan isu khusus melibatkan jenama tertentu.

Pada masa sama, Khairul menjelaskan kekurangan sementara mungkin berlaku di lokasi tertentu akibat lonjakan permintaan secara mendadak, khususnya apabila stesen berhampiran mengalami kehabisan stok.
“Situasi ini boleh menyebabkan kesan limpahan jangka pendek ke stesen-stesen berdekatan,” katanya.
Namun, beliau menegaskan keadaan itu lazimnya bersifat sementara dan akan kembali pulih sebaik sahaja penghantaran oleh lori tangki selesai.
Mengulas situasi di kawasan luar bandar dan pedalaman, beliau berkata bekalan bergantung kepada faktor logistik serta jadual penghantaran, namun secara keseluruhan keadaan masih terkawal.
Justeru, beliau berkata Pdam menasihatkan orang ramai supaya terus mengisi bahan api seperti biasa bagi memastikan pengagihan bekalan di seluruh negara berjalan lancar dan teratur.
Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir menegaskan laporan mengenai stesen minyak yang ‘hampir kehabisan’ bekalan tidak mencerminkan berlakunya kekurangan bahan api di seluruh negara.
Beliau berkata, walaupun ada kes stesen tertentu kehabisan minyak, siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mendapati gangguan berpunca daripada masalah operasi di stesen individu, bukannya isu bekalan secara menyeluruh.
Akmal menjelaskan walaupun bekalan bahan api negara masih stabil, kos logistik untuk penghantaran telah meningkat dua kali ganda, manakala premium insurans pula melonjak sehingga 16 kali ganda.
Menurutnya, keadaan ini memaksa syarikat minyak menyesuaikan semula cara mereka menguruskan pengedaran bahan api.
Harga bahan api melonjak sejak konflik Timur Tengah bermula pada akhir Februari, sebahagian besarnya akibat gangguan di Selat Hormuz — laluan penting mengendalikan sekitar 20% bekalan minyak global — serta serangan ke atas kilang penapisan di rantau itu.
Gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran minggu lalu pada awalnya meningkatkan harapan aliran minyak melalui laluan tersebut akan pulih, dengan harga minyak mentah jatuh lebih 15% ke bawah USD100 setong.
Namun, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kemudiannya mengumumkan sekatan di Selat Hormuz, sekali gus menambah ketidaktentuan bagi syarikat perkapalan, syarikat minyak dan penyedia insurans. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.