Fahmi Fadzil sekadar menerangkan pembatalan suatu konsert atas permintaan ahli jawatankuasa masjid.

Pegawai penyiasat kes berkenaan, Fiadhi Fadzil, beritahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Fahmi sekadar menerangkan pembatalan konsert kumpulan The 1975 atas permintaan ahli jawatankuasa masjid, selepas solat selesai.
“Beliau tak nak berucap tetapi telah dipaksa dengan memberikan mikrofon kepadanya, jadi beliau tiada pilihan dan Fahmi menjelaskan mengapa beliau menghentikan konsert tersebut,” katanya, lapor Bernama, semasa pemeriksaan semula oleh Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi selaku peguam.
Fiadhi berkata demikian di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, dalam pendengaran kes saman fitnah Fahmi terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani, berhubung hantaran di Facebook dan Instagram pada 2023. Fiadhi tampil sebagai saksi plaintif.
Dalam pada itu, Fiadhi turut memberitahu mahkamah siasatan mendapati tiada sebarang pertuduhan yang boleh dibuat terhadap Fahmi di bawah Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Ketika disoal Kamarulzaman Jusoh yang mewakili Ahmad Dusuki, Fiadhi bersetuju dengan cadangan bahawa ‘ucapan politik’ dan ‘berucap’ adalah dua benda berbeza.
Sementara itu, Ahmad Dusuki dalam pernyataan saksi menegaskan bahawa penerbitan kenyataannya itu tidak luas aksesnya dan sebarannya serta tidak memberikan kesan kepada reputasi plaintif.
Ketika disoal Fahri Azzat yang mewakili Fahmi, Ahmad Dusuki bersetuju beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ketepatan apa-apa yang diterbitkan di akaun-akaun Facebook dan Instagram, namun menafikan hantaran tersebut untuk mempengaruhi pemikiran pengikutnya.
Ahmad Dusuki turut mengakui beliau tidak menghubungi plaintif atau pejabat plaintif sebelum membuat hantaran tersebut.
Pihak plaintif dan defendan menutup kes dalam prosiding hari ini.
Mahkamah menetapkan 9 Julai untuk hujahan lisan.
Mahkamah juga meminta kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan hujahan balasan masing-masing pada 20 Mei dan 18 Jun. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.