Calon PH dakwa penyandang BN tak aktif di Jeram Padang selama tiga tahun sebagai Adun.

Manivannan mendakwa, Zaidy tidak aktif di kawasan itu selama tiga tahun sebagai Adun sebelum kembali menjelang pilihan raya, selain mengaitkan pelbagai kejayaan kerajaan persekutuan sebagai pencapaian peribadi.
“Saya tiada masalah dengan rakan-rakan dalam BN atau MIC, tetapi sepanjang saya turun padang menyantuni masyarakat, banyak komen diterima mengenai perkhidmatan Zaidy.
“Saya difahamkan beliau hilang selama tiga tahun, kemudian muncul ketika pilihan raya dan mendakwa kejayaan kerajaan persekutuan sebagai kejayaan beliau. Saya rasa perkara itu mengaibkan pengundi Jeram Padang,” katanya ketika ditemui dalam siri jelajah kempen di Bahau.
Beliau berkata, cabaran itu bukan bermotifkan politik kepartian, sebaliknya bagi memberi peluang kepada rakyat menilai prestasi serta tawaran kedua-dua calon secara terbuka.
“Saya mahu memperbetulkan apa yang dipaparkan di Facebook beliau. Biar penduduk sendiri menilai apa yang benar dan membandingkan apa yang saya tawarkan dengan apa yang beliau tawarkan,” katanya.
Manivannan turut mendakwa sehingga kini belum melihat manifesto atau inisiatif jelas dibawa Zaidy.
“Retorik dan drama politik harus dihentikan. Biar beliau bentangkan inisiatifnya, saya bentangkan inisiatif saya, kemudian rakyat buat perbandingan,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran debat itu boleh diserahkan kepada mana-mana organisasi media bagi memastikan ia berlangsung secara langsung dan profesional jika Zaidy menerima cabaran tersebut.
Kerusi DUN Jeram Padang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Manivannan, Zaidy, R Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal (Parti Orang Asli Malaysia).
Pada PRN lalu Zaidy menang kerusi itu dengan majoriti 693 undi.
FMT sedang mendapatkan reaksi Zaidy berhubung cabaran debat berkenaan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.