`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Sunday, September 27, 2026

Bila pembetulan dasar jadi modal politik

 Kes baja dan tarif elektrik menunjukkan pembetulan dasar perlu datang bersama akauntabiliti terhadap keputusan dan kelemahan yang mencetuskan masalah.

sawah padi 4

Ada sesuatu yang menarik dalam cara kita melihat perubahan dasar. Rakyat mengeluh, isu mendapat perhatian, pemimpin campur tangan, tindakan diambil dan akhirnya penyelesaian diumumkan.

Pada pandangan pertama, ini tentunya sesuatu yang baik. Pemimpin memang perlu mendengar dan kerajaan yang responsif sepatutnya bersedia membetulkan keadaan apabila sesuatu dasar tidak menghasilkan kesan seperti diharapkan.

Namun ada satu persoalan yang tidak kurang penting: bagaimana jika masalah yang akhirnya diselesaikan itu berkait dengan keputusan kerajaan sendiri atau kelemahan sistem yang sepatutnya mengesannya lebih awal?

Lihat sahaja isu bil elektrik baru-baru ini. Selepas keresahan pengguna mengenai kenaikan bil mendapat perhatian, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat khas pada 17 Sept bersama kementerian dan agensi berkaitan. Kerajaan kemudian memperluas perlindungan bil elektrik bagi pengguna domestik daripada penggunaan 600kWj kepada 800kWj sebulan bagi tempoh September hingga 31 Dis.

Tidak ada yang salah dengan keputusan itu. Malah, kerajaan yang sanggup membuat penyesuaian apabila keadaan berubah menunjukkan dasar tidak semestinya kaku.

Tetapi analisis dasar tidak sepatutnya berhenti pada cerita bahawa pemimpin mendengar lalu masalah selesai. Kita juga perlu bertanya bagaimana masalah itu timbul, apakah andaian asal yang tidak menjadi, apakah kesan yang tidak dijangka dan mengapa pembetulan akhirnya diperlukan.

Isu bekalan Baja Padi 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberikan satu lagi contoh. Pada 18 Ogos, MADA memaklumkan hanya 22% daripada 616,015 beg baja yang diperlukan sudah dibekalkan, dengan kelewatan itu menjejaskan keperluan kira-kira 38,000 pesawah. Pada 6 Sept, Anwar mengarahkan SPRM menyiasat kelewatan tersebut dan siasatan kemudiannya dibuka.

Sekali lagi, persoalannya bukan sama ada perdana menteri patut campur tangan. Jika masalah menjejaskan rakyat, tentunya pemimpin tertinggi wajar bertindak.

Persoalan yang lebih besar ialah: mengapa sesuatu masalah perlu sampai kepada perdana menteri sebelum sistem benar-benar bergerak?

Kita memerlukan kepimpinan yang responsif, tetapi pada masa sama kita juga memerlukan sistem yang responsif. Pemimpin perlu bertindak apabila sistem terlepas pandang sesuatu masalah, tetapi sistem yang matang tidak sepatutnya bergantung kepada perhatian seorang pemimpin untuk mengesan dan menyelesaikan setiap isu.

Di sinilah kes baja dan bil elektrik bertemu. Kedua-duanya bukan sekadar cerita mengenai pemimpin yang mendengar rakyat. Ia juga mengajak kita melihat apa yang berlaku sebelum masalah mendapat perhatian politik.

Adakah tanda awal sudah kelihatan? Adakah aduan sudah diterima? Adakah data menunjukkan sesuatu tidak berjalan seperti dirancang? Apakah mekanisme pembetulan yang tersedia dan mengapa ia tidak berfungsi lebih awal?

Ukuran sistem yang baik bukanlah berapa banyak masalah akhirnya berjaya diselesaikan selepas campur tangan pemimpin, tetapi berapa banyak masalah dapat dikesan dan diselesaikan sebelum perlu sampai ke peringkat itu.

Bila yang viral dianggap vital

Persoalan ini semakin penting dalam zaman media sosial. Selama ini kita sering bercakap mengenai dasar berasaskan bukti — keputusan dibuat berdasarkan data, penilaian dan pengalaman pelaksanaan.

Namun hari ini muncul satu lagi realiti: dasar yang bergerak selepas sesuatu isu menjadi tular. Aduan tersebar luas, tekanan awam meningkat, perhatian politik datang dan sistem mula bergerak.

Media sosial tentunya boleh menjadi sistem amaran awal yang berguna. Ia membolehkan masalah yang mungkin terlepas daripada radar birokrasi mendapat perhatian pembuat keputusan.

Bahaya timbul apabila sesuatu isu perlu menjadi viral sebelum dianggap vital.

Apa yang tular mengukur perhatian, bukan semestinya kepentingan. Isu kecil boleh menjadi besar kerana naratifnya mudah atau individu berpengaruh membangkitkannya, manakala masalah serius dalam kalangan kelompok yang kurang mempunyai akses kepada media sosial mungkin terus berlaku dalam senyap.

Sebab itu aduan yang kelihatan kecil tidak wajar terus diketepikan sebagai kes terpencil. Ia mungkin petanda awal kepada masalah yang lebih besar.

Cabaran sebenar kerajaan bukan sekadar menunjukkan ia mampu bertindak selepas sesuatu isu tular. Sistem yang baik sepatutnya mampu mengenal pasti apa yang penting sebelum ia terpaksa menjadi tular.

Kredit dan akauntabiliti

Kerajaan juga tidak perlu malu mengubah dasar. Kita terlalu mudah menyifatkan setiap perubahan sebagai pusingan U.

Ada perubahan yang dibuat kerana keadaan berubah. Ada yang berlaku kerana pelaksanaan memberikan maklumat baharu. Ada juga keputusan asal yang memang perlu diperbetulkan.

Kerajaan yang tidak pernah mengubah dasar bukan semestinya kerajaan yang konsisten. Ia juga boleh menjadi kerajaan yang tidak mahu belajar.

Sebab itu apabila sesuatu dasar berubah, soalan yang lebih berguna bukan sekadar “mengapa berubah lagi?”, tetapi apakah yang diketahui hari ini yang tidak diketahui ketika keputusan asal dibuat?

Adakah muncul bukti baharu? Adakah andaian asal tersasar? Adakah keadaan berubah? Atau pelaksanaan menghasilkan kesan yang tidak dijangkakan?

Jika perkara itu diterangkan dengan terbuka, perubahan dasar boleh dilihat sebagai proses pembelajaran.

Namun politik mempunyai logiknya sendiri. Sudah tentu mana-mana pemimpin mahu menunjukkan bahawa mereka mendengar rakyat, bertindak pantas dan mampu menyelesaikan masalah.

Tidak salah memberikan kredit apabila pembetulan dibuat. Tetapi kredit terhadap penyelesaian tidak sepatutnya dipisahkan daripada akauntabiliti terhadap apa yang berlaku sebelumnya.

Jika kerajaan yang sama membuat atau mempertahankan sesuatu keputusan sebelum kemudian memperbetulkannya, kedua-dua bahagian cerita itu perlu disebut.

Jika tidak, kita hanya melihat babak akhirnya — rakyat mengadu, pemimpin datang dan masalah selesai — sedangkan persoalan tentang bagaimana masalah itu berlaku hilang daripada cerita.

Politik mungkin bertanya siapa yang menyelesaikan masalah. Analisis dasar perlu pergi lebih jauh: siapa membuat keputusan, apa yang tidak menjadi, bagaimana kesannya dikesan dan mengapa masalah itu perlu diselesaikan semula.

Pendek kata, kita juga perlu melihat apa yang berlaku sebelum kamera tiba.

Kerajaan tidak perlu takut mengakui sesuatu dasar perlu diperbetulkan. Pembetulan bukan kegagalan jika kerajaan belajar daripadanya.

Tetapi pembetulan juga tidak sepatutnya menjadi jalan mudah untuk memisahkan kredit hari ini daripada akauntabiliti semalam.

Akhirnya, perubahan dasar sepatutnya menjadi bukti bahawa sistem mampu belajar — bukan sekadar peluang untuk pembuat keputusan muncul pada penghujung cerita sebagai pihak yang menyelesaikan masalah. - FMT

Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.