JKN Kedah berkata seorang lelaki berusia 31 tahun dari daerah Kubang Pasu yang mempunyai sejarah gigitan anjing meninggal dunia hari ini.

JKN Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari daerah Kubang Pasu yang mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lepas meninggal dunia, hari ini.
“Kes (mangsa) mendapat rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian tersebut, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) rabies. Pada 18 Sept lepas, kes mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan.
“Gejala kemudian berkembang kepada kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan dan perubahan tingkah laku pada 22 Sept, selaras dengan manifestasi klinikal rabies. Sehari selepas itu, kes mendapatkan rawatan semula dan dirujuk untuk rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” menurut kenyataan itu.
JKN Kedah memaklumkan sampel klinikal diambil pada 24 Sept dan keputusan ujian makmal dua hari kemudian mengesahkan kes dijangkiti rabies.
“Susulan pengesahan kes itu, JKN Kedah bersama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah dan pihak berkaitan melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan, termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan survelan kes gigitan haiwan, penilaian risiko serta tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar di kawasan terlibat.
“Memandangkan kes ini merupakan kes rabies dalam kalangan manusia pertama yang dilaporkan di Kedah sejak 1998, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama JKN Kedah dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan epidemiologi secara menyeluruh bagi mengenal pasti sumber jangkitan dan laluan pendedahan,” menurut kenyataan itu.
JKN Kedah memaklumkan siasatan merangkumi penelitian sejarah perjalanan dan pendedahan, pengenalpastian kontak dan faktor risiko serta analisis garis masa kejadian bagi mengenal pasti sumber dan faktor yang berkaitan dengan jangkitan tersebut.
“Tindakan kawalan sedang diperkukuh berasaskan pendekatan ‘One Health’ melalui pengesanan dan pengurusan pendedahan manusia, survelan kes gigitan haiwan, pemantauan serta penilaian risiko terhadap anjing dan haiwan yang berpotensi terdedah, serta pelaksanaan tindakan kawalan di kawasan berisiko.
“Usaha ini bagi memastikan perkongsian maklumat, pengesanan awal serta tindakan respons terhadap sebarang kes atau pendedahan dilaksanakan secara bersepadu dan pantas,” katanya.
Setakat Ogos 2026, sejumlah 502 kes gigitan dan cakaran haiwan telah dilaporkan dan sebanyak 65.3% melibatkan anjing, 23.1% kucing dan 11.6% haiwan lain.
“Sebanyak 56.2% membabitkan haiwan peliharaan, manakala 43.8% melibatkan haiwan terbiar. JKN Kedah ingin mengingatkan orang ramai bahawa rabies boleh menular melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan yang dijangkiti.
“Orang ramai diingatkan supaya anjing dan kucing peliharaan mereka menerima vaksinasi antirabies, tidak mendekati, menyentuh atau memberikan makanan kepada haiwan terbiar serta tidak mengambil atau memelihara haiwan yang tidak diketahui status kesihatan dan vaksinasi rabies,” menurut kenyataan itu.
JKN Kedah memaklumkan sekiranya digigit atau dicakar haiwan, cuci segera luka dengan sabun dan air mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit dan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta bagi penilaian risiko dan pemberian rawatan bersesuaian.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengendalikan bangkai haiwan tanpa diketahui punca kematiannya. Orang ramai perlu mengambil serius setiap kejadian gigitan atau cakaran haiwan dan tindakan segera selepas pendedahan dan pemberian PEP rabies yang bersesuaian amat penting dalam mencegah rabies,” menurutnya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.