`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Friday, October 23, 2026

Bukan lagi melawan, Fitri belajar hidup bersama skizofrenia

 Mohammad Fitri Aziz melihat skizofrenia bukan pengakhiran sebaliknya perlu difahami dan diurus melalui rawatan, sokongan keluarga serta usaha sendiri.

Mohammad Fitri Aziz didiagnosis menghidap penyakit skizofrenia sejak 2020.
PETALING JAYA:
Ketabahan membawa Mohammad Fitri Aziz keluar daripada belenggu psikotik yang sukar kepada menjalani kehidupan yang teratur dan stabil, selepas bertahun-tahun hidup dengan skizofrenia.

Dahulu Fitri, 31, lebih berusaha untuk sembuh sejak didiagnosis pada 2020, tetapi kemudian beliau belajar memahami diri sendiri dan menerima bahawa skizofrenia adalah sesuatu yang perlu diurus sepanjang hidup.

Fitri mengambil ubat mengikut nasihat doktor, sambil menjaga tidur, dan mengubah beberapa aspek kehidupan bagi mengawal perkara yang boleh mencetuskan gejala skizofrenia, selain mendalami agama.

Apabila diminta menggambarkan kestabilan kehidupannya sekarang berbanding dahulu, berpandukan skala satu hingga sepuluh, Fitri menjawab: “Daripada 10, saya di tahap ke sembilan”.

Fitri Aziz memanfaatkan TikTok untuk sebar kesedaran tentang skizofrenia.

Salah satu rutinnya ialah berkongsi secebis kehidupannya di TikTok sejak 2023, menceritakan serba-serbi cabaran yang pernah dan sedang beliau hadapi, sekaligus mendekatkan penonton dengan pengamalan sebenar seorang pesakit skizofrenia.


Dalam satu video pada Ogos, Fitri menceritakan bahawa beliau kurang mengikuti kandungan di media sosial lain kerana tidak mahu emosi terganggu, sebaliknya lebih menggemari senaskah buku.

“Dulu saya fikir orang lain kena faham saya. Tapi lama-lama saya sedar, saya pun kena faham diri saya sendiri,” kata pemuda dari Tapah, Perak ini.

Fitri tidak mahu pesakit skizofrenia hanya dilihat sebagai golongan yang perlu dikasihani, menegaskan bahawa mereka perlu diberi ruang untuk berdikari.

“Ironinya tempat kerja adalah ruang selamat saya. Jadi rakan sekerja hampir tidak perasan pun saya sedang bergelut dengan penyakit mental. Sekarang mereka sudah tahu, dan sedang belajar menerimanya,” katanya.

Dr Fakrul Azren Azhar kata keupayaan pesakit skizofrenia menjalani kehidupan seperti orang normal merupakan sebahagian daripada pemulihan.

Pakar psikiatri, Dr Fakrul Azren Azhar, yang mengenali Fitri menerusi beberapa sesi audio siar berkaitan skizofrenia, berkata beliau kagum dengan usaha Fitri dan keberanian beliau berkongsi pengalamannya secara terbuka.

“Pulih itu subjektif sebenarnya. Kita bukan nak simptom dia hilang semata-mata, tetapi keupayaan dia untuk menjalani kehidupan seperti orang normal. Kualiti hidup itu yang kita nak capai sebenarnya,” katanya.

Pada 2024, Malaysia merekodkan 8,303 kes skizofrenia, manakala hospital awam mencatatkan peningkatan kes sebanyak 14.6% berbanding 2021, menurut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.