Dr Aleef Yusof dari Wawasan seru PN tanding solo pada PRN Melaka selepas anggap tindakan BN itu satu bentuk rundingan politik tidak adil.

Aleef menang kerusi itu sebagai calon Bersatu, namun mengumumkan kemasukannya dalam Wawasan pada 2 Okt, juga menyeru PN mempertimbang untuk bertanding solo pada PRN Melaka.
“Kepimpinan PN digesa supaya tidak terus membiarkan BN menentukan hala tuju politik tanpa mengambil kira kepentingan rakan strategiknya. Tiba masa PN mempertimbangkan bertanding solo sekiranya rundingan pembahagian kerusi tidak memberikan ruang sewajarnya kepada gabungan.
“Ini bukan rundingan dengan PAS, tetapi pembulian terhadap PAS. Akhirnya, tindakan ini turut memberikan kesan kepada rakan komponen PN,” katanya kepada FMT.
MInggu lalu, dilaporkan Presiden Wawasan Hamzah Zainudin menegaskan hasrat mempertahan Sungai Udang dan Bemban pada PRN Melaka sebagaimana Umno mahu mengekalkan 21 kerusi disandang.
Katanya, menjadi hak Wawasan bertanding dua kerusi itu berdasarkan konsep ‘pertahankan kerusi menang’ pada PRN lalu.
Dalam pada itu, Aleef melihat tindakan BN Melaka diketuai Ab Rauf Yusoh bukan satu bentuk rundingan politik adil, sebaliknya usaha mengambil kesempatan terhadap rakan strategik.
“Rakyat meletakkan harapan kepada PN bertanding di kerusi majoriti Melayu bagi membolehkan gabungan itu meraih kemenangan.
“Tindakan Rauf bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan antara parti, malah berisiko memusnahkan usaha penyatuan Melayu secara keseluruhan.”
Malam tadi, BN umum bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, termasuk Sungai Udang dengan menamakan Rais Yasin sebagai calonnya.
Pada PRN Melaka 2021, Aleef menang Sungai Udang majoriti 530 undi, menewaskan calon BN, Mohamad Ali Mohamad yang meraih 6,269 undi, calon Pakatan Harapan, Hasmorni Tamby (2,035), dan bebas, Zahar Hashim (471). - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.