Suhaimi Ahmad menceritakan kesukaran hidup di Kuala Lumpur apabila usia sudah menjadi tua dan tiada pekerjaan.
PETALING JAYA: Hatta Mohamad berusia 65 tahun tidak bekerja, ekoran itu hidupnya terumbang ambing di Kuala Lumpur. Tidurnya tidak menentu, namun bernasib baik selalu mendapat makanan percuma.
Di zaman muda beliau melakukan pelbagai pekerjaan, antaranya di stesen minyak, syarikat perkapalan dan yang terakhir syarikat pengangkutan barang.
Beliau mula kehilangan pekerjaan kira-kira lima tahun lalu kerana kecederaaan tangan kanannya ketika bekerja di stesen minyak di Gombak.
Hatta adalah warga kota yang miskin.
“Saya menghabiskan masa di sini sahaja, apa lagi yang boleh dii lakukan pada usia begini. Siang berjalan-jalan, malam tidur sahaja.
“Tidur yang susah sedikit, kena tunggu kedai tutup dulu kerana saya tidur di kedai,” katanya dengan tersenyum.
Menurut kenalannya, Hatta seorang yang jujur, penyabar dan pandai berkawan ekoran tidak suka mencampuri urusan orang lain.
Hidup terbiar
“Maju tidak boleh, undur tidak boleh,” kata Hatta berjenaka apabila ditanya mengenai hala tuju hidupnya.
Suhaimi Ahmad pula menceritakan kesukaran hidup di Kuala Lumpur apabila usia sudah menjadi tua.
Katanya, beliau malu dengan apa yang berlaku kepada dirinya; hidup sebatang kara, melarat dan tiada kawan.
“Kerja pun seminggu sekali sahaja, dapat upah sekitar RM60 sehari. Tapi cukupkah untuk seminggu.
“Tidur pun tumpang bilik kawan di Jalan Ipoh,” kata beliau.
Suhaimi mendakwa beliau pernah memohon bantuan dari kerajaan tetapi tidak berjaya.
Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), memberitahu, golongan melarat boleh memohon bantuan,
“Mereka bolah datang ke pejabat kami untuk mengadakan perbincangan dan biar kami tahu masalah sebenar mereka,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.