`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 27, 2013

Khutbah terakhir 2013: Muhasabah diri

Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak), Rasulullah SAW.
PETALING JAYA: Khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) hari ini menyeru umat Islam untuk bermuhasabah diri .
Dari teks khutbah Jumaat yang disediakan di laman sesawang Jakim hari ini, muhasabah diri merupakan amalan para anbiya’, mursalin dan orang-orang soleh.
Muhasabah menurut Ibnu Qudamah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat.
Manakala Ibnul Qaiyim pula berkata muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali.”
Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadith Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA iaitu “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).”
Memetik kata-kata seorang ulama iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa “Daripada takut, akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah, timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah, hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT”.
Khutbah kali ini juga menyeru umat Islam untuk mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran.
“Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal. Hayatilah ungkapan “Berkatalah benar sekalipun pahit” untuk menjadi satu semangat kepada kita bilamana berhadapan dalam setiap cabaran dan dugaan,”
“Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika timbal balik antara jiwa benar kita dituai maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai,”
Mengakhiri khutbah Jumaat terakhir tahun ini, umat Islam turut diseru untuk bersatu dan berhenti dari berbalah dan bersengketa antara satu sama lain.
“Siapakah yang akan mengaut keuntungan jika umat Islam bercakaran dan bersengketa sesama sendiri? Siapa lagi yang boleh membela agama Islam dan mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara jika masing-masing telah terbakar menjadi abu?
“Adakah kepada musuh islam kita mahu menyerahkan nasib agama dan bangsa kita? Ingatlah..tidak ada jaminan masa depan buat diri, keluarga dan agama jika kita tidak bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain bermula hari ini,” kata khatib lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.