Sambutan Tahun Baru 2014 di ibukota berakhir dengan aman walaupun lebih 50,000 peserta himpunan rakyat menurunkan kos sara hidup membanjiri Dataran Merdeka.
KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Baru 2014 berakhir dengan aman di sini malam tadi, walaupun peserta himpunan besar-besaran rakyat anjuran Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) ‘menakluki’ Dataran Merdeka.
Peserta perhimpunan itu mula berhimpun di jalan masuk Dataran Merdeka sejak jam 9.30 malam melaungkan seruan ‘turun’ dan ‘rakyat bangkit’.
Dianggarkan lebih 15,000 peserta hadir perhimpunan itu setelah berkumpul di tiga ‘checkpoint’ iaitu Masjid Jamek, Pusat Beli Belah Sogo dan Pasar Seni, lebih awal.
Mereka yang menanti di luar Dataran Merdeka kemudian merempuh masuk ke dalam dan melanggar barisan anggota polis yang menghadang jalan masuk ke Dataran Merdeka.
Difahamkan, tindakan merempuh masuk itu tidak mendapat kebenaran pihak penganjur dan dipengaruhi beberapa peserta yang tidak mampu mengawal perasaan.
Setelah berjaya merempuh masuk, peserta himpunan menunggu di tepi Dataran Merdeka ketika konsert Ambang Tahun Baru 2014 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilaporkan menelan belanja RM15 juta masih berlangsung.
“Kami pun nak dengar konsert.
“Duit dah bayar takkan tak boleh nak tengok?” antara laungan dari peserta
Berlaku satu provokasi apabila seorang lelaki yang didakwa anggota polis oleh peserta demo, melemparkan botol air ke arah orang ramai yang menyebabkan beberapa peserta bertempiaran lari.
Konsert itu dihentikan lebih kurang jam 11.40 dan lampu di pentas dimatikan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Thalib kemudiannya menyeru semua yang hadir agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menganggu ketenteraman awam.
Bagaimanapun ucapan Ahmad Phesal terganggu beberapa kali ketika beliau melaungkan laungan 1Malaysia tetapi diejek peserta himpunan tersebut.
“Anak muda sila beri peluang semua pihak sambut tahun baru dengan ketenteraman.
“Walaupun ada yang melahirkan rasa mereka tapi harap jaga ketenteraman,” ujar beliau.
Menjelang jam 12 tengah malam, Dataran Merdeka terus bergelap walaupun ianya masih dipenuhi oleh peserta himpunan yang terus menggesa kerajaan menurunkan kos sara hidup yang bakal ditanggung rakyat bermula hari ini.
Pihak polis pula mengesahkan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.