Cerita mengenai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang panjang dan masih belum selesai.Malah kontroversi calon PKR Kajang turut berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu apabila penyandang sejak 2008, Lee Kim Sin diganti oleh Lee Chin Cheh yang dikatakan dipilih oleh pengerusi PKR negeri.
Lee (Kim Sin) yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Lee amat popular, menewaskan penyandang sebelum itu, Datin Paduka Low Lee Leng dari MCA dengan majoriti 3,268 undi.
Walaupun rata-rata membantah penggantian Lee itu, malah berkumpul di hadapan ibupejabat PKR membantah, sebelum Lee sendiri hadir meminta mereka bertenang dan menyokong keputusan parti.
Beliau turut hilang seketika di arena politik sebelum muncul semalam ketika bertemu dengan penduduk Taman Delima, batu 13, Kajang.
Lee hadir sendirian dengan berbaju Melayu sedondon dengan Anwar dan disambut rakan dan penduduk yang jelas mengenali beliau dengan sapaan 'Cikgu Lee'.
"Bila ADUN sebelum ini letak jawatan, ada kawan SMS minta saya ganti. Saya kata ada yang lebih hebat dan sesuai untuk DUN Kajang iaitu ketua umum kita Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya dah rehat agak lama (dari politik) dan Datuk Seri Anwar masuk ajak saya bersama (dalam kempen), kita mesti menang dan terus cemerlang," kata beliau disambut tepukan gemuruh kira-kira 100 penduduk dan wakil Pakatan Rakyat.
Beliau kemudian menegaskan bahawa kehadiran Anwar bakal membawa perubahan baik kepada dasar negeri Selangor dan penduduk Kajang serta mampu mendapatkan sokongan di kawasan majoriti Melayu seperti di Taman Delima itu sendiri.
"Saya akan turun bersama tuan puan macam dulu jugak. Kita lawat rumah ke rumah. Kita duduk mencangkung di surau, kedai makan semualah macam dulu," katanya disambut dengan gelak ketawa hadirin.
Anwar yang berucap kemudian memuji Lee atas kesanggupan beliau turun membantu PKR dan setia bersama walaupun tidak dipilih bertanding.
"Cikgu Lee ini contoh ahli part yang setia dan komited dalam perjuangan. Dia kecewa dulu pun dia tetap dalam perjuangan parti," kata beliau.
PRK Kajang akan diadakan pada 23 Mac depan dengan tarikh penamaan calon pada 11 Mac susulan peletakan jawatan ADUN PKR 27 Januari lalu. ~mk
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.