Wednesday, February 26, 2014
Rumahtangga Harmoni Keluarga Bahagia
Suatu masa dahulu, di hujung sebuah kampung, hiduplah seorang laki-laki bersama isterinya. Pada suatu petang, si isteri meminta dibelikan sepasang sanggul untuk dia mengikat rambutnya.
"Abang.. Boleh tak abang belikan saya sanggul rambut?", pohonnya mengharap
Dengan redup pandangannya, si suami memandang wajah si isteri.. Lalu dia berkata..
"Abang belum mampu untuk memenuhi permintaanmu itu sayang.. Bahkan, untuk menyambung tali jam abang yang putus ini pun, belum mampu abang membaikinya.."
Diam. Isterinya tidak membantah. Apatah lagi mengeluh, menghela nafas. Dia redha. Dan dia tahu, berdosa dirinya jika terus memaksa.
Keesokan harinya, setelah selesai dari kerjanya, si suami tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, dia menyusun langkah menuju ke pasar. Ada sesuatu yang ingin diuruskannya.
Ketika di pasar, dia mengeluarkan jam tangan usangnya yang sudah tercabut talinya itu untuk dijual, untuk dia membeli sepasang sanggul, memenuhi permintaan isterinya.
Sesampainya dia di rumah, dia melihat rambut isterinya sudah terpotong pendek.. Dan dilihat pada tangan sang isteri itu, seutas tali jam tangan..
Rupa-rupanya, si isteri telah memotong rambutnya dan menjualnya untuk membeli tali jam tangan buat suaminya.
Lalu, pada saat itu, mereka saling berpandangan dengan air mata yang bercucuran. Bukan kerana kecewa dengan apa yang mereka lakukan itu sia-sia, tetapi adalah kerana keduanya saling mencintai. Kedua-duanya ingin memenuhi apa yang diinginkan antara satu sama lain. Allahurabbi..
* Ingatlah semua..
Sekiranya kita mencintai seseorang, maka berusahalah untuk membahagiakannya walau dengan apa cara sekalipun.. Kerana cinta sejati itu tidak terletak pada manisnya perkataan tetapi ia terselit pada ikhlasnya pengorbanan..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.