`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, February 22, 2014

Biarkan hanya Zaid dan Anwar di Kajang

Adakah kem Anwar akan menggunakan taktik kotor untuk menjatuhkan Zaid?
MCA tidak punya keperluan untuk meletakkan calon di Kajang. Tiada apa untuk MCA pertahankan di sana. Malah BN juga mungkin tidak perlu meletakkan sebarang calon dalam PRK Kajang yang dijadualkan pada Mac 23 depan.
Biarkan sahaja ianya menjadi medan perang antara Zaid dan Anwar. Yang lain hanya perlu lihat dan mungkin belajar sesuatu daripada pilihan raya kecil ini.
Ramai yang mempersoal kredibiliti Zaid tatkala dia menyatakan hasratnya untuk bertanding menentang Anwar di Kajang.
Ramai juga yang beranggapan Zaid terlalu kerdil untuk berhadapan dengan nama besar seperti Anwar Ibrahim.
Namun kerdilkah Zaid di mata Anwar sehinggakan ramai dari kalangan Pakatan Rakyat mengeluarkan pelbagai kenyataan ‘membunuh’ Zaid biarpun pertandingan sebenar belum bermula?
Zaid baru-baru ini melontar cabaran mengajak Anwar berdebat – strategi yang sangat sinonim dengan Anwar sendiri.
Namun sehingga kini Anwar masih belum memberi sebarang jawapan. Debat antara dua anak Ibrahim ini pasti hebat dan Anwar sepatutnya berani menyahut cabaran Zaid.
Dengan moderator yang tidak berat kepada mana-mana parti, pasti Kajang dapat melihat sendiri siapa di antara kedua-dua ini yang punya lebih kredibiliti serta perancangan yang lebih baik untuk Kajang.
Menafikan bahawa dia didukung oleh BN, Zaid yang sebelum ini percaya serta menyokong tindakan Anwar bertanding di Kajang demi menyelesaikan masalah dalaman Pakatan di negeri itu mengambil keputusan untuk bertanding menentang Anwar kerana akhirnya sedar bahawa semua yang berlaku bukan lagi untuk kebaikan bersama parti.
Sebaliknya ia hanya satu gerak untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar.
Taktik kotor
Meragui bahawa apa yang dilakukan oleh PKR di Kajang sebagai keputusan yang dipersetujui oleh semua komponen dalam Pakatan Rakyat, Zaid juga melihat kenyataan menamakan Anwar bagi menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar hanya akan mengundang konflik yang lebih besar di Selangor.
Umum tahu di mana Zaid berdiri selepas meletakkan jawatannya sebagai menteri kabinet.
Dia adalah individu yang berani bangkit menentang sesuatu yang diihat bertentangan dengan prinsipnya. Dan jika ada yang bertanya siapa paling layak untuk berhadapan dengan Anwar di Kajang, Zaid adalah orangnya.
Untuk BN, terutamanya MCA, kekalahan pada PRU13 yang lalu di Kajang tidak perlu berulang lagi dan buat pertama kalinya, pilihlah untuk tidak bertanding. Mungkin ia akan menjadi keputusan paling bijak.
Pertembungan dua penjuru antara Zaid dan Anwar di Kajang mungkin boleh dijadikan kayu pengukur bagi melihat sejauh mana kesediaan Anwar untuk berhadapan dengan individu yang pernah sama-sama memperjuangkan idea Pakatan Rakyat.
Adakah kem Anwar akan menggunakan taktik kotor untuk menjatuhkan Zaid? Adakah penduduk Kajang akan dapat mengenali Anwar dengan lebik baik bila Zaid mula bersuara kelak?
Yang pasti, sekiranya hanya Zaid dan Anwar yang akan berentap di sana, PRK Kajang akan menjadi sesuatu yang sangat penting dan harus diingati dalam sejarah Malaysia.
Sahut cabaran Zaid untuk berdebat dan mungkin kita dapat melihat sisi Anwar yang tidak pernah kita tahu sebelum ini.
Lisa Adam adalah pemerhati politik tempatan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.