`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 11, 2014

Pelampau Melayu hanya golongan terpencil

A Shukur Harun

Tindakan segelintir orang Melayu akhir-akhir ini menimbulkan pelbagai aksi yang boleh merosakkan imej Islam sebenarnya hanya perlakuan pelampau Melayu berfikiran sempit, yang jumlahnya sangat kecil.
Siapakah dalangnya? Ia bukan rahsia lagi.

Golongan biadap pelampau Melayu ini yang bergerak atas nama NGO Islam tidak disokong oleh majoriti orang Melayu baik di bandar mahupun di luar bandar.
Mereka diperalatkan oleh golongan politik berkepentingan yang tidak mencerminkan watak sebenar orang Melayu yang patuh kepada sistem nilai Islam, cinta damai, berbudi bahasa, terbuka dan menerima hakikat kehadiran pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Aksi terbaru segelintir NGO Islam ini yang menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar pemimpin DAP, Teresa Kok adalah perbuatan yang sangat biadap kerana ia merosakkan nama baik Islam itu sendiri.
Beberapa minggu lalu, ada demonstrasi mengenai isu Kalimah Allah dan lain-lain yang bersifat provokasi serta boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama, demikian juga disusuli kejadian melempar bom api di pekarangan sebuah gereja di Pulau Pinang baru-baru ini.
Sebelum itu, beberapa aksi lain pelampau juga berlaku di Pulau Pinang dan Selangor, dua negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.
Majoriti orang Melayu menentang perbuatan pelampau Melayu/Islam ini dan mereka tidak akan memberi respons kepada perbuatan jahat pelampau ini.
Jika pelampau ini, yang jumlahnya sangat kecil, melambai atau hendak mengingatkan kembali peristwa pergaduhan kaum 13 Mei, maka usaha golongan ini tidak akan disahut oleh orang Melayu dan kaum lain, justeru rakyat umumnya sudah melupakan peristiwa 45 tahun lalu itu.
Bagi golongan muda, anak semua bangsa, langsung tidak tahu peristiwa 13 Mei itu dan kalau pun ada yang tahu sedikit-sedikit, mereka tidak berminat memperkatakannya lagi. Oleh itu, sejarah hitam negera ini tidak mungkin akan berulang kembali.
Rakyat prihatin yang ada sekarang, khususnya golongan muda, sedang memikirkan nasib masa depan negara, iaitu aspek kemakmuran negara yang mesti dinikmati bersama oleh rakyat pelbagai kaum dan agama.

Mereka mahukan kebebasan hak dalam pelbagai bidang dan menentang rasuah, penyelewengan serta pembaziran yang kini berleluasa.
Mereka mahukan peluang ekonomi dilaksanakan dengan adil, merentasi kaum dan agama. Melayu yang miskin mesti dibantu, bukan kerana Melayunya tetapi kerana kemiskinannya. Demikian juga kaum Cina dan India yang miskin mesti dibantu bukan atas nama kaum mereka, tetapi kerana kemiskinan mereka.
Ertinya persamaan hak dan peluang mesti diberi, merentasi kaum dan agama dan inilah prinsip asas jika perpaduan nasional hendak dibina yang berpaksikan keadilan sosial.
Pada masa lalu, selepas peristiwa 13 Mei 1969, Kerajaan Perikatan pada masa itu hendak membina apa yang dikatakan Perpaduan Nasional berasaskan perpaduan kaum. Maka tertubuhkah kemudiannya Barisan Nasional di mana beberapa waktu selepas itu PAS menyertai kerajaan BN atas kehendak pemimpin BN untuk kononnya mewujudkan perpaduan Melayu.
Tetapi akhirnya, setelah beberapa tahun berada di dalam BN, PAS ditendang keluar oleh pemimpin BN dengan beban pengalamannya yang sangat pahit ketika di dalam BN.
Episod ini berlaku 45 tahun lalu dan PAS sendiri menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran yang sangat berguna.
Oleh itu, episod ini tidak akan berulang kembali, lebih-lebih lagi rakyat semakin menyedari bahawa semangat perkauman menjadi musuh rakyat.
Maka provokasi perkauman dan agama oleh segelintir pelampau Melayu yang berlaku sekarang dipandang sangat jijik oleh rakyat prihatin.
Sementara itu, pada ketika kumpulan ekstremis Melayu cuba membangkitkan ketegangan kaum, PAS turun ke padang, mengingatkan rakyat Malaysia agar memberi tumpuan kepada isu sebenar yang menghambat kehidupan mereka, seperti gaji rendah dan kenaikan kos hidup.
Parti itu melancarkan kempen bernama 'Turun', bertujuan menghimpunkan rakyat seluruh negara bagi memberikan tekanan kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN) agar bertanggungjawab atas kenaikan kos kehidupan.
Kempen nasional itu adalah salah satu daripada usaha PAS menyedarkan rakyat agar memberikan tumpuan kepada kesan polisi ekonomi Putrajaya melalui penyelasaran subsidi.
Ia juga dilihat sebagai usaha meluaskan sokongan kepada Umno/BN di kalangan Melayu-Islam terutama di kawasan pedalaman dan kelas pekerja yang secara tradisinya adalah penyokong kuat Umno.
"Isu peningkatan kos barangan sentiasa wujud. Ia tidak akan hilang," kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar apabila ditanya sama ada isu ketegangan kaum dan agama menyebabkan orang ramai terlupa kebimbangan mengenai inflasi.
Mahfuz menyedari bahawa media masa milik BN akan cuba memainkan isu perkauman untuk menutup masalah ini.
“PAS akan jelajah seluruh negara untuk mengingatkan rakyat," kata Mahfuz.
Pada masa sama, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menolak dan mengecam tindakan beberapa NGO Melayu/Islam lain yang menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Kok kerana dikatakan menghina kepimpinan Melayu.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata orang Islam tidak memerlukan NGO seperti ini. Mereka tidak boleh mendakwa mewakili orang Melayu dan Islam. NGO ini, katanya, menghalalkan perbuatan batil untuk mencapai matlamat di mana dengan cara ini tidak boleh dilakukan.
Beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas supaya ia tidak menjadi bom jangka dan seterusnya mencetuskan keganasan.
Di sini, jelaslah bahawa majoriti kalangan NGO Melayu sendiri menentang perlakuan pelampau Melayu yang bertindak atas nama NGO Melayu/Islam.
Ini membuktikan bahawa golongan pelampau Melayu itu sangat kecil jumlahnya dan tidak menjadi jurucakap atau mendakwa sebagai pembela kepentingan Melau dan Islam.
Malah NGO ini sebenarnya mencemarkan Islam dan nama baik bangsa Melayu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.