KAJANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan tidak mengulangi perbuatan gemar menaburkan janji politik palsu kononnya akan menyelesaikan isu air di Kelantan jika menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Saranan berkenaan dibuat bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar, berikutan Najib sendiri gagal menyelesaikan isu air di Pahang seperti dilaporkan stesyen televisyen milik Umno, TV3 tidak berapa lama dahulu.
“Saya tengok di video, Najib berucap di Kelantan sebelum pilihan raya, dia kata beri kami kuasa dan akan selesaikan masalah air di Kelantan. Tiba-tiba dengan kuasa Allah, TV3 siarkan masalah air di Pahang yang masih boleh tengok di You Tube dan kini Najib dimalukan TV3. Ketika dia berucap di Kelantan, satu kawasan felda di Pahang terpaksa gunakan air daripada perigi, sungai dan korek tanah. Selama 25 tahun rakyat di sana protes sampai sekarang tak selesai dan inilah juga lagu yang dimainkan di Selangor,” katanya di hadapan kira-kira 500 orang yang hadir dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di sini, baru-baru ini.
Barisan Nasional (BN) juga memiliki rekod pengurusan air yang buruk apabila menyebabkan Johor mengalami kerugian berbilion ringgit dengan membuat perjanjian menjual air mentah pada kadar tiga sen bagi 1,000 gelen dan membeli semula air bersih pada harga 50 sen pada kuantiti sama. Menyentuh isu kenaikan harga petrol, Tamrin berkata, keputusan BN itu jelas mempermainkan rakyat negara ini kerana sebelum pilihan raya pernah berjanji tidak menaikan harga bahan api itu tetapi menaikkannya dalam tempoh beberapa bulan selepas memenangi PRU-13.
“Pengundi di Kajang diingatkan tidak terpedaya dengan janji palsu bakal ditaburkan BN khususnya membabitkan isu air dalam kempen PRK DUN Kajang yang bermula, pada 11 Mac ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.