`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 31, 2014

Perkasa akan saman kumpulan 25 tokoh Melayu

Perkasa akan bertindak menyaman kumpulan 25 tokoh Melayu yang menandatangani surat terbuka kerana memfitnah pertubuhan itu, kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Disember, 2014.Perkasa akan bertindak menyaman kumpulan 25 tokoh Melayu yang menandatangani surat terbuka kerana memfitnah pertubuhan itu, kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Disember, 2014.Tidak senang dengan kritikan terhadap mereka, Perkasa akan mengambil tindakan menyaman kumpulan 25 profesional Melayu yang menandatangani surat terbuka menggesa satu dialog rasional diadakan mengenai Islam, atau paling tidak pun, menyaman jurucakap kumpulan itu, bekas duta Datuk Noor Farida Ariffin.
Kumpulan 25 tokoh Melayu itu, terdiri daripada pesara kerajaan dan bekas pemimpin yang berpengaruh, mendesak pandangan ekstrem yang menyebabkan perpecahan antara kaum dan agama dihentikan, dan sesetengah ahlinya, dalam komen individu kepada media, juga mengkritik Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kerana mempolitikkan Islam.
Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali memberitahu The Malaysian Insider, mereka sedang membuat persiapan mengambil tindakan saman terhadap Noor Farida kerana membuat tuduhan tidak berasas kepada kumpulan pendesak Melayu itu.
Bekas duta Malaysia ke Belanda itu dalam satu kenyataan meluahkan kebimbangan terhadap ekstremis dan fanatik agama yang tidak dipantau.
Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider, beliau berkata, dakwaan Perkasa dan Isma yang hak Melayu di negara ini makin terhakis "hanya dalam imaginasi mereka saja".
Katanya, kumpulan Melayu berhaluan kanan itu mendakwa hak Melayu terancam, tetapi hak bukan Melayu yang diinjak. 
Beliau juga menerangkan kerisauannya yang Malaysia mungkin satu hari nanti menjadi seperti "satu lagi Pakistan dan Afghanistan" di mana ekstremis agama menakutkan golongan sederhana dan profesional, memaksa mereka meninggalkan negara itu.
Beberapa tokoh yang menurunkan tandatangan atas surat terbuka itu, seperti bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Shaikh Daud Md Ismail, juga melahirkan kebimbangan Putrajaya tidak cukup bertindak dalam mengekang retorik ekstrem di negara ini.
Surat terbuka itu meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangani ketegangan agama dan kaum dan menjalankan kepimpinannya membawa Malaysia ke arah kesederhanaan.
Syed Hassan juga berkata mereka tidak mengiiktiraf kumpulan 25 tokoh profesional Melayu tersebut, malah mengganggap ia tidak mewakili suara kaum Melayu dalam negara.
"Kami Perkasa tidak sama sekali iktiraf kumpulan 25 ini mewakili majoriti orang Melayu.
"Terpulanglah kepada mereka nak kata Perkasa tidak mewakili semua orang Melayu, tetapi sekurang-kurangnya lebih 500,000 orang Melayu bersama Perkasa sebagai ahli," katanya.
Tindakan undang-undang yang sedang dipertimbang Perkasa terhadap Noor Farida atau semua 25 yang menandatangani surat itu dibuat selepas presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali memfailkan saman fitnah ke atas syarikat akhbar bahasa Inggeris Star Publications Bhd dan ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Wong Chun Wai.
Ibrahim menyaman Wong kerana satu artikel berhubung pandangannya terhadap seruan beliau kepada orang Melayu supaya membakas Bible yang mengandungi kalimah 'Allah'.
Ibrahim juga menggelar kumpulan 25 itu "pengecut" kerana mengkritik kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu seperti Perkasa dan Isma.
"Mereka hanya menyerang orang Melayu. Kenapa mereka tidak kata apa-apa terhadap kumpulan bukan Melayu dan kumpulan lain yang mengkritik Islam dan raja-raja Melayu?" soal Ibrahim pada perhimpunan tahunan mereka di Kuala Lumpur pada 14 Disember.
Beliau juga menganggap surat dan pandangan kumpulan 25 itu sebagai suara 'liberal Melayu' yang merupakan ancaman kepada Islam.
"Pada 2015, kita akan dihantui isu melibatkan pertahanan Islam. Kumpulan liberal Melayu sekarang menggantikan mereka yang hendak menghancurkan Islam," katanya sambil menambah yang apa yang dianggap mereka sebagai 'ekstrem' ialah sebenarnya "peraturan Islam" dan "undang-undang Tuhan".
Selain Noor Farida, mereka yang turut menandatangani surat 19 perenggan itu termasuk bekas kakitangan awam berpangkat tinggi seperti ketua pengarah, ketua setiausaha, duta dan individu terkemuka.
Sejak surat itu disiarkan pada 8 Disember lalu, ia tersebar luas di media sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang positif, tidak kurang juga ada yang mengkritik kumpulan tersebut.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.