`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 31, 2014

Warga Pahang diminta bersiap sedia

 
 
BLOG BANJIR Malaysiakini membawa maklumat terkini mengenai keadaan banjir di seluruh negara.

10pm: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran bahawa ribut tropika bakal melanda negara esok.

Ia membawa tiupan angin kencang timur laut dengan kelajuan sehingga 60 kmj yang boleh menyebabkan keadaan laut bergelora di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, dan bahagian pedalaman pantai barat Sabah sehingga Selasa.

Paras air laut juga dijangka meningkat di perairan Kelantan, Terengganu Pahang dan timur Johor sehingga Rabu, selain ribut petir di perairan Pahang dan timur Johor.

Warga Pahang diminta bersiap sedia

9.46pm: Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Johor meningkat malam ini manakala di Kelantan, Terengganu dan Perak dilaporkan terus
menurun.

Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat sedikit kepada 51,484 orang malam ini berbanding 51,434 orang di 264 pusat pemindahan dari lapan daerah yang terjejas petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Temerloh masih menempatkan jumlah pemindahan mangsa banjir paling banyak iaitu 21,284 orang yang ditempatkan di 65 pusat pemindahan.

Tujuh lagi daerah iaitu Pekan menempatkan 10,441 orang, Jerantut (5,674 orang), Maran (4,098 orang), Kuantan (3,852 orang), Lipis (3,090 orang), Bera (2,879 orang) dan Rompin (166 orang).

9.18pm: Menteri Hujan Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata lebat dijangka terus berlaku di negeri-negeri yang sedang terjejas oleh banjir.

Mengikut ramalan, hujan lebat sekejap-sekejap serta ribut petir di sana sini, terutama di kawasan pantai, dijangka berlaku di Pahang antara 1 dan 5 Jan tahun depan.

"Oleh itu, penduduk di Pahang dinasihati supaya bersiap sedia untuk menghadapai sebarang kemungkinan, termasuk dipindahkan dengan segera ketika berlaku ribut petir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Terengganu pula, katanya, dijangka mengalami hujan dalam tempoh tujuh hari akan datang, termasuk hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat.

Keadaan serupa juga dijangka berlaku di Kelantan dan Perak, dengan kadangkala hujan sederhana lebat sepanjang beberapa hari akan datang, kata beliau.

Beliau berkata hujan di sana-sini dijangka kerap berlaku di kawasan pesisir pantai Kelantan manakala di Johor, hujan lebat dijangka berlaku dua hari lagi, lapor Bernama.

5.33pm: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) hari ini menangguhkan Kejohanan Bola Sepak Pantai Sepanjang Malam 1Malaysia, yang dijadualkan berlangsung esok, bagi menghormati kesulitan dihadapi mangsa banjir.

Yang Dipertua MPPD Datuk Ab Khalid Mat berkata acara Persembahan Pentas di Dataran Seri Kemang, Port Dickson dan program Sambutan Tahun Baru 2015 di PD Waterfront yang dianjurkan oleh TSR Ocean Park turut dibatalkan, lapor Bernama.

5.02pm: Seorang guru yang berkata barangan keperluan asas berkurangan di Kelantan menyebabkan beliau terpaksa memperolehinya di Kuala Lumpur sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga.

Mohd Dahan Mohamad dari Sekolah Kebangsaan Lakloh, Kuala Krai berkata beliau datang ke ibu negara dengan pacuan empat roda sejak beberapa hari lalu, lapor Bernama.

K'jaan tafsir kerugian


5.00pm: Perdana menteri berkata kerajaan akan tafsir kos kerugian setiap rumah yang rosak dan musnah akibat banjir di Kelantan, lapor Bernama.

4.55pm: Pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem PLKN Saujana Jabi Impian, Kota Baharu melahirkan rasa gembira kerana dapat membantu 2,000 mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa, Kota Baharu semalam.

Seorang pelatih PLKN, Raslizawati Abdul Rashid, 17 tahun dari Kem PLKN yang terletak di Kampung Jabi, Terengganu itu berkata beliau dan rakan-rakan rasa terharu apabila melihat sendiri keadaan mangsa banjir terutama warga emas dan kanak-kanak yang kelihatan masih trauma, walaupun air banjir di sekitar Pengkalan Chepa semakin surut, lapor Bernama.

4.50pm: Perdana menteri berkata tindakan petugas Hospital Kuala Krai kendali 'secara luar biasa' mangsa banjir dan pesakit perlu diberi pujian, lapor Bernama.

4.48pm: Perdana menteri berkata kerajaan bina rumah sementara sebelum bina kediaman kekal di tempat selamat untuk mangsa banjir yang kehilangan kediaman di Kuala Krai, lapor Bernama.

4.28pm: Parti Gerakan akan menubuhkan sebuah pasukan khas dalam masa terdekat bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah penduduk yang terjejas banjir.

Presidennya Datuk Mah Siew Keong berkata sehubungan itu Gerakan akan bergandingan dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lebih memfokuskan terhadap pasca banjir di seluruh negara, lapor Bernama.

Sambutan tahun baru sederhana


4.24pm: Program Sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 peringkat negeri Melaka yang dijadualkan berlangsung esok malam di Dataran Sungai Melaka akan dibuat secara sederhana, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata acara detik hitungan tahun baharu 2015 dibatalkan dan hanya persembahan kebudayaan akan diadakan dalam program yang bermula pukul 11.20 malam itu, lapor Bernama

4.13pm: Sarawak sedang memantau pergerakan Ribut Tropika Jangmi yang kini menghala tengah dan selatan Filipina dengan teliti, walaupun ia dijangka tidak membawa kesan serius kepada bahagian selatan Sarawak sekiranya ribut itu tetap dengan haluan pergerakannya.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata pergerakan ribut itu hanya akan memberi kesan hujan agak lebat di beberapa tempat di bahagian utara Sarawak seperti Miri, Limbang dan Lawas, namun ia dijangka tidak serius, lapor Bernama.

Mydin mahu kutip RM1 juta

4.01pm: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), syarikat tempatan terbesar terlibat dalam perniagaan borong dan runcit, dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menyasarkan kutipan RM1 juta untuk tabung kemanusiaan bencana banjir yang dilancarkan hari ini.

Presiden PKOB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata kempen kemanusiaan itu bertemakan 'ringgit for ringgit' dan tabung-tabung kutipan akan ditempatkan di pintu utama di setiap 110 cawangan Mydin di seluruh negara sehingga kutipan mencecah RM500,000, lapor Bernama.

1.23pm: Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) dengan kerjasama Yayasan Terengganu membuka Pusat Operasi Banjir di Sekolah Menengah Imtiaz Dungun bagi menyelaraskan bantuan dan misi kemanusiaan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Pengarah Ops Banjir Terengganu Permata Nasiruddin Mohamad berkata pusat yang dibuka sejak dua hari lepas itu, turut mendapat khidmat 50 mahasiswa bagi membantu kerja-kerja pemunggahan barangan, membungkus dan menghantar bantuan kepada mangsa banjir, lapor Bernama.

PM naik helikopter ke Kuala Krai

1.18pm: Perdana menteri menaiki helikopter 1.05 tengah hari menuju ke Kuala Krai untuk meninjau situasi banjir, lapor Bernama.

12.58pm: Penduduk Melaka yang ingin memberikan sumbangan kepada mangsa banjir boleh berbuat demikian di semua kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) sehingga Ahad ini.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin berkata antara sumbangan yang diterima ialah pakaian, makanan, wang tunai dan barangan keperluan asas lain, lapor Bernama.

12.53pm: Gabungan Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Malaysia mencadangkan persekolahan dua sesi dilaksanakan di sekolah yang teruk terjejas banjir sehingga perabot dan peralatan sekolah rosak atau musnah.

Pengerusinya Datuk Mohamed Sabri Mohd Arshad berkata ini bagi membolehkan pelajar belajar dalam keadaan selesa sehingga perabot gantian sampai, lapor Bernama.

12.53pm: Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di Terengganu telah menangguh sesi pembelajaran dan pengajaran selama seminggu ekoran banjir.

Timbalan Pengarah Akademik PSMZA, Hassan Ismail berkata pelajar sepatutnya memulakan sesi pembelajaran pada 28 Dis lalu, tetapi ditangguhkan kepada 5 Jan kerana sebahagian besar daripada mereka terlibat dengan banjir, lapor Bernama.

12.47pm: Najib singgah di Kampung Baru Hilir, Gua Musang, tinjau sendiri penduduk kampung bersihkan kediaman, lapor Bernama.

12.43pm: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menggerakkan misi menghantar bantuan barang keperluan harian untuk membantu mangsa banjir di Kelantan.

Penolong Kanan Penguasa JBPM negeri Mohd Affendi Ishak yang mengetuai misi berkenaan berkata tujuh anggota bomba termasuk 17 anggota dari Pasukan bomba sukarela Masjid Al-Jamiul Badawi turut menyertai misi itu, laporBernama.

Perlis hulur bantuan ke Pantai Timur

12.14pm: Sungguhpun Perlis turut dilanda banjir, penduduk negeri ini tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan untuk mangsa banjir di Pantai Timur yang teruk dilanda bencana alam itu.

Agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam Perlis, badan bukan kerajaan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) menggerakkan inisiatif mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai, lapor Bernama.

12.10pm: Najib lawat kuarters kerajaan di bandar lama Gua Musang, lihat sendiri kesan kemusnahan dan dengar rintihan penduduk setempat, lapor Bernama.

11.53am: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) telah membuka bilik gerakan operasi bagi mengumpul maklumat berhubung keperluan perkhidmatan psikologi dan kaunseling bagi mangsa dan petugas banjir.

MCIT dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata bilik operasi yang dibuka di bangunan JPA Cyberjaya itu juga berfungsi menyelaras operasi MCIT di seluruh negara terutama di kawasan yang dilanda bencana, laporBernama.

Banjir di LPT menurun

11.40am: Banjir di KM124 dan KM126 di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mula menunjukkan penurunan, berikutan keadaan cuaca bertambah baik - ANIH Berhad.

10.35am: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Perak, dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan pagi ini, manakala di Terengganu menunjukkan penurunan dan di Johor tidak berubah berbanding malam tadi, lapor Bernama.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir pagi ini di Kelantan, Perak, Terengganu, Pahang dan Johor adalah 230,509 orang.

Di PAHANG, jumlah mangsa yang dipindahkan mencatat peningkatan ketara iaitu 49,369 orang berbanding 35,501 orang malam tadi.
  
Mereka ditempatkan di 262 pusat pemindahan dalam lapan daerah yang masih terjejas.      
  
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, semua lapan daerah terlibat menunjukkan pertambahan mangsa banjir dengan Temerloh masih menempatkan jumlah paling banyak 19,875 mangsa banjir ditempatkan di 62 pusat pemindahan.
  
"Tujuh lagi daerah ialah Pekan sebanyak 9,387 mangsa di 40 pusat pemindahan, Jerantut (6,025 mangsa di 59 pusat), Maran (4,351 di 32 pusat), Kuantan (3,880 di 17 pusat), Lipis (2,930 di 27 pusat), Bera (2,755 di 19 pusat), dan Rompin (166 di enam pusat)," katanya.
  
Di PERAK, keadaan banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kerian kian bertambah, dan ia menjadikan keseluruhan mangsa di seluruh negeri seramai 7,735 orang daripada 2,049 keluarga, berbanding 7,408 daripada 1,948 keluarga malam tadi.
  
Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, setakat ini di daerah Kerian, seramai 300 orang daripada 90 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan.
  
Daerah Perak Tengah masih terjejas teruk dengan seramai 4,512 mangsa daripada 1,201 keluarga kini berada di 19 pusat pemindahan.

Di daerah Hulu Perak, sebanyak 746 orang daripada 202 keluarga ditempatkan 16 pusat pemindahan.
  
Di daerah Kuala Kangsar yang turut meliputi kawasan Sungai Siput, jumlah mangsa tidak banyak berubah setakat ini iaitu 2,177 orang daripada 556 keluarga berada di 22 pusat pemindahan.
  
Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat sedikit kepada 142,582 pagi ini orang berbanding 142,564 orang malam tadi.
  
Kesemua mangsa di tempatkan di 317 pusat pemindahan melibatkan 35,894 keluarga.
  
Bagaimanapun katanya, kebanyakan jalan di negeri tersebut telah dibuka dan air di kebanyakan kawasan telah mula surut pagi ini.
  
Di JOHOR,jumlah mangsa banjir di negeri ini tidak berubah iaitu 171 orang daripada 49 keluarga setakat 8 pagi ini.
  
Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan iaitu satu di Muar, masing-masing dua di Batu Pahat dan Kluang dan tiga di Segamat.

Sementara itu, satu jalan masih ditutup iaitu Jalan Kampung Asli Sedohok di daerah Kluang.
  
Keadaan banjir di TERENGGANU pula semakin surut, dan jumlah mangsa menurun kepada 30,652 pagi ini berbanding 31,805 malam tadi.
  
Mengikut statistik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, lebih 1,100 mangsa telah meninggalkan pusat pemindahan sejak semalam hingga pagi ini.
  
Kini masih terdapat 21,532 mangsa di Kemaman di 36 pusat pemindahan, Dungun (8,770 di 27 pusat), Hulu Terengganu (74 di empat pusat) dan Kuala Terengganu (276 di enam pusat).

9.40am: Jumlah mangsa banjir di Pahang catatkan peningkatan besar pada pagi ini, lapor Bernama.

Jumlahnya ialah 49,369 orang berbanding 35,501 orang malam tadi, demikian menurut IPK Pahang.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan sehingga pagi ini ialah 142,582 orang.

Bilangan itu meningkat sedikit pagi ini berbanding 142,564 malam tadi, kata pengarah JKM Kelantan.

Manakala, menurut MKN Perak, jumlah mangsa banjir di negeri meningkat sedikit pagi ini, kepada 7,735 orang berbanding 7,408 malam tadi.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula kekal 171 orang pagi ini, demikiann menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Johor.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berlepas ke Kelantan jam 9.23 pagi ini, dari Pangkalan TUDM Subang, untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu.

6.30am: Atas dasar kemanusiaan, Lembaga Lebuhraya Pantai Timur (LPT) membenarkan penduduk berhampiran yang terjejas banjir mendapatkan perlindungan sementara di kawasan rehat dan rawat (RSA) Temerloh, laporBernama.
  
Menurut kenyataan Anih Berhad, pengendali lebuh raya berkenaan, setakat ini dianggarkan 50 penduduk telah berpindah ke situ sejak petang semalam dan menggunakan fasiliti RSA seperti surau dan tandas.
  
"Penyelengaraan RSA Temerloh masih diteruskan untuk kemudahan penduduk tersebut," menurut kenyataan itu.
  
Sementara itu, tiada perubahan terhadap keadaan banjir di Kilometer 126 lebuh raya berkenaan, malam tadi.
  
Hujan renyai serta paras air Sungai Pahang yang naik menyebabkan paras air di lokasi tersebut tidak berubah.
  
Menurut kenyataan itu, pemantauan juga dilakukan terhadap jalan di Kilometer124 berikutan air yang naik di kawasan tersebut.
  
"LPT berterima kasih kepada pengguna lebuh raya yang membuat panggilan kepada kami sebelum merancang perjalanan mereka ke Pantai Timur," menurut kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.