Corak yang terdapat pada sejadah yang didakwa menyerupai bentuk kepala kambing bertanduk (dalam bulatan).
Imej kepala kambing bertanduk yang menyerupai corak di sejadah.
ROMPIN – Lakaran corak pada sejadah di beberapa masjid di sekitar Kuala Rompin, di sini, menimbulkan keraguan sehingga menyebabkan jemaah yang menunaikan sembahyang terganggu dan tidak khusyuk.
Corak yang dikatakan itu terletak di bahagian sujud pada sejadah iaitu tempat yang akan dipandang oleh jemaah ketika bersembahyang yang seakan menyerupai imej kepala kambing bertanduk namun tidak semua jemaah perasan mengenai imej tersebut.
Pengerusi Masjid At-Taqwa Sungai Puteri, Md Yunus Ramli, 55, berkata, sebelum ini beliau ada mendengar atau terbaca di laman sesawang mengenai terdapat sejadah yang menyerupai imej tertentu namun yang dikesan di masjid yang dipengerusikannya itu baharu sahaja ditemui.
“Mula-mula saya tak perasan gambar itu walaupun pernah sembahyang di sejadah itu tapi setelah seorang jemaah beritahu dan saya tengok semula, memang jelas ada imej yang menyerupai kepala binatang.
“Ada yang mengatakan ia seperti imej kepala kambing bertanduk tapi ia perlukan pengesahan pihak berwajib mengenainya. Pada saya ini isu besar sebab ia melibatkan ibadah solat yang dilaksanakan umat Islam seharian terutama di bulan Ramadan ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa bimbang mengenai penemuan tersebut kerana bimbang terdapat agenda pihak tertentu untuk mengenakan umat Islam dalam cara yang halus dan sukar dikesan kerana setiap corak itu tentu ada motif dalam proses melakarnya.
“Saya harap perlu ada kajian yang dilakukan pihak berwajib agar karpet sembahyang seperti ini tidak dijual sewenang-wenangnya di pasaran. Jika benar ia sengaja dicorakkan di atas sejadah maka perlu ada tindakan sewajarnya diambil.
“Mungkin perlu ada garis panduan pemilihan sejadah dikeluarkan supaya tidak timbul perkara berbangkit sehingga umat Islam was-was untuk melaksanakan ibadah solat,” katanya.
Guna hanya satu warna
Dalam pada itu, seorang penduduk Kuala Rompin, Amin Zahari Abd Razak, 29, meminta pihak berkenaan memandang serius perkara ini kerana tidak mahu umat Islam terus menggunakan sejadah yang meragukan.
“Pelbagai jenis sejadah dengan corak yang pelbagai terdapat di luar sana yang tidak diketahui pembuatnya dan diimport untuk dipasarkan dalam negara.
“Saya percaya sejadah memang biasa digunakan dan sejadah yang meragukan ini bukan sahaja terdapat di sini, tidak mustahil ia ada mana-mana masjid atau surau di seluruh negara,” katanya.
Dia turut mencadangkan supaya semua surau dan masjid tidak menggunakan sejadah yang bercorak berlebihan serta hanya menggunakan satu warna bagi mengelak atau menghindarkan timbulnya keraguan.
Pilih sejadah kosong
Sementara itu, kadi daerah Rompin, Adnan Mamat yang ditemui tidak menafikan bahawa sejadah yang kosong tanpa sebarang corak adalah yang terbaik digunakan kerana ia dapat menghindarkan sebarang keraguan seperti kain putih.
Menurutnya, sejadah yang didakwa mempunyai corak menyerupai imej tertentu itu boleh digunakan kerana ia bukan imej asal seperti gambar-gambar yang terdapat di baju yang dipakai jemaah ketika bersembahyang.
Katanya, jika ia berbentuk syiar agama lain dan memang dibuat dengan tujuan untuk menyebarkan agama berkenaan maka ia haram termasuk perkara haram lain seperti lambang arak, simbol-simbol kepercayaan yang membawa kepada syirik.
“Sembahyang yang ditunaikan memang dituntut memandang tepat di tempat sujud untuk mendatangkan khusyuk dalam hati dan disebabkan itu adalah lebih baik tempat sujud itu kosong serta tiada corak atau perkara yang boleh mengganggu tumpuan ketika bersembahyang.
“Bagi kes ini saya cadangkan mungkin pihak pengurusan masjid boleh melapik di bahagian atas sejadah yang meragukan itu dengan kain putih sebab kalau nak dibuang akan berlaku pembaziran pula,” katanya. -SH
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.