`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 15, 2020

Tiada PKPD di Tawau, Lahad Datu, kata Ismail

Majoriti yang direkodkan positif Covid-19 merupakan individu yang ditahan di Penjara Tawau dan Lahad Datu.
PETALING JAYA: Kerajaan tidak melihat sebarang keperluan untuk menetapkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pentadbiran di Tawau dan Lahad Datu walaupun terdapat peningkatan mendadak kes Covid-19 di kawasan berkenaan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memberi taklimat terperinci mengenai situasi di kawasan berkenaan dan menjelaskan majoriti yang direkodkan positif Covid-19 merupakan individu yang ditahan di Penjara Tawau dan Lahad Datu.
“Mesyuarat diberikan taklimat oleh pihak KKM, tentang situasi di Tawau dan Lahad Datu. Sehingga 14 September, KKM sudah membuat saringan seramai 3,981 individu di Tawau dan 1,421 di Lahad Datu. Daripada jumlah itu, 331 individu direkodkan positif di Tawau dan 89 individu positif di Lahad Datu.
“Bagaimanapun, daripada 331 kes positif di Tawau, 305 kes melibatkan banduan di dalam Penjara Tawau. Manakala daripada 89 kes positif di Lahad Datu, 86 kes terdiri daripada OKT di lokap balai polis. KKM ketika ini masih memantau situasi penularan Covid-19 di Tawau dan Lahad Datu.
“Terutama di luar penjara dan balai polis, melibatkan OKT. Mesyuarat juga tidak buat sebarang keputusan mengendai cadangan ramai pihak supaya kita buat PKPD di Tawau dan Lahad Datu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ismail berkata, sekiranya PKPD dilaksanakan di kawasan Tawau dan Lahad Datu, ia akan memberi kesan pergerakan dan aktiviti harian kepada seluruh penduduk Tawau yang berjumlah lebih 511,000 dan lebih 266,000 di Lahad Datu.
“Kita hanya akan buat PKPD berdasarkan lokaliti dikenal pasti berlaku peningkatan mendadak. Saringan akan terus dilaksanakan pihak KKM. Kita anggarkan saringan bersasar mungkin akan melibatkan 25,000 penduduk di Tawau dan 13,000 penduduk di Lahad Datu,” katanya.
Pada masa sama beliau turut memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara dan KKM sudah mengenal pasti pusat kuarantin akan digunakan, sama seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang, bagi digunakan di Tawau dan Lahad Datu.
“Satu blok di Penjara Tawau dan 1 dewan masyarakat di Lahad Datu sudah dikenal pasti sebagai pusat kuarantin berisiko rendah. Buat sementara waktu, orang ramai dinasihatkan mengelakkan tempat awam yang sesak dan mengamalkan kawalan kendiri,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.