Hari ini adalah hari lahir Saidina Ali. Minggu ini juga berkebetulan adalah ulangtahun Sheraton.
Sebagai saudara rapat Rasulullah, sebagai khalifah keempat, sebagai suaminya Fatimah Zahra puteri Nabi Muhammad, dan sebagai antara orang pertama yang menerima Islam; maka wajar untuk kita menyiasat mengapa Ali Abi Talib menerima desakan untuk menjadi seorang pemimpin, yakni setelah pembunuhan Khalifah Uthman Affan.
Tambahan pula ahli sosiologi tersohor negara kita, Syed Hussein Alatas, dalam bukunya Cita Sempurna Warisan Sejarah menjadikan Ali sebagai puncak cita sempurna iaitu model pemerintahan yang saksama.
Akan tetapi mengapakah Ali menerima permintaan atau desakan masyarakat untuk diangkat sebagai khalifah atau pemimpin? Adakah Ali melakukannya menerusi pintu belakang? Atau adakah baginda melakukannya dengan cara menebuk atap? Adakah insan yang kita namai “Amirul Mukminin” atau pemimpin orang mukmin ini mengatur ‘langkah’ tertentu untuk merampas mandat sedia ada setelah kematian Uthman? Paling penting ialah apakah tujuan Nabi Muhammad menerima kepimpinan umat?
Satu-satunya cara untuk mengetahui motif Ali menerima kuasa adalah menerusi kata-kata atau kalimatnya sendiri. Ini terserlah dalam Khutbah 131 yang menjelaskan mengapa Ali mengambil kuasa, atau bersedia untuk menjadi pemerintah di zamannya.
Pidato Ali itu berbunyi begini:
“Wahai (manusia dengan) fikiran-fikiran yang berbeza dan hati yang terbahagi, yang jasadnya hadir, tetapi akalnya tidak. Saya akan memimpin anda kepada kebenaran, tetapi anda melarikan diri darinya (iaitu kebenaran) seperti kambing-kambing dan biri-biri lari dari ngauman singa. Betapa sukarnya bagi saya mengungkapkan kepada anda tunjang dan dasar keadilan, atau meluruskan lengkungan yang tercipta atas nama kebenaran
” Ya Allah, Tuhanku! Engkau mengetahui bahawa apa yang kami lakukan bukanlah untuk mencari kekuasaan, bukan pula untuk memperoleh sesuatu dari kehampaan dunia. Melainkan kami hendak mengembalikan semula asas agama-Mu dan membawakan pembaharuan (islah) ke pelusuk bumi-Mu agar orang-orang yang tertindas di antara hamba-hamba-Mu selamat, dan perintah-Mu yang telah dilalaikan dapat ditegakkan.
“Ya Allah, Tuhanku! Saya adalah yang pertama bersandar (kepada-Mu) dan yang mendengarkan dan menjawab (seruan Islam). Tak ada seseorang mendahului saya dalam salat, selain Nabi.”
Maka bersaksilah tuan-tuan Sheraton, yang jasad kalian hadir tetapi tiada akal dan intelek, sesungguhnya Ali yang mengenal apa itu keadilan daripada Rasulullah mengatakan seseorang ahli politik itu tidak dibenarkan mencari kekuasaan, apatah lagi merebutnya, atau merompaknya. Baginda juga menasihatkan betapa apa yang terkandung di sebalik kantung pemerintahan itu adalah dunia belaka, bukan sahaja dunia; tetapi bahkan ‘kesia-siaan dunia’.
Ketika Ali diasak agar mengambil kuasa dengan segera setelah pembunuhan dahsyat Uthman, Ali mengatakan satu-satunya sebab yang kukuh untuk beliau mengambil kuasa adalah kerana ada keperluan untuk melakukan reformasi, adanya kewajaran untuk membantu mereka yang tertindas dan melaksanakan apa yang selama ini terlalaikan.
Pun, jika kita berkata begini mengenai Ali, ramai yang akan seronok memanipulasi dan mendakwakan bahawa mereka adalah semua di atas. Ini bukanlah aneh kerana agamawan boleh menghujahkan apa pun hatta mencipta-ciptakan ungkapan yang konon bayang-bayang Tuhan pun ada di muka bumi.
Harus atau sayugia diingatkan yang “Amirul Mukminin” tidak berhenti sekadar di atas. Di sinilah kita dapat memuhasabah atau memantau pemerintah. Ini kerana Ali menambah lagi:
“Pastilah engkau mengetahui bahawa orang yang mengembang tanggungjawab kehormatan, kehidupan, (pelaksanaan) pampasan, perintah-perintah hukum dan kepemimpinan umat, tidak boleh seorang tamak, kerana keserakahannya akan mengincar kekayaan mereka; tidak pula jahil agar ia tidak menyesatkan mereka dengan kejahilannya; tidak berperilaku kasar agar tidak menjauhkan mereka dengan keberangannya; tidak boleh berlaku zalim dengan kekayaan yang dengan demikian lebih menyukai satu kelompok atas kelompok lain; tidak boleh ia menerima suapan (habuan) sementara membuat keputusan, kerana (dengan demikian) ia mengorbankan (orang lain) dan menghalangi mereka tanpa kesudahan; tidak pula boleh mengabaikan pedoman sebagaimana Nabi kerana (dengan berbuat demikian) ia akan menghancurkan rakyat.”
Petikan di atas, juga dari pidato yang sama, memberitahukan Ali mengingatkan pemimpin supaya mewaspadai tanggungjawab mereka untuk (disenaraikan secara lebih teratur agar mudah dihadam):
A) Memelihara maruah rakyat.
B) Untuk mengagih kekayaan dengan saksama.
C) Memastikan kedaulatan undang-undang iaitu hukum secara setara.
D) Melaksanakan amanah sebagai pemimpin.
Keempat-empat ini tidak, ulangan; tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang (sekali lagi kita aturkan agar mudah dicerna):
A) Pemimpin tamak.
B) Pemimpin serakah dan bernafsu.
C) Pemimpin bodoh dan tiada hala tuju.
D) Pemimpin kasar.
E) Pemimpin zalim yang mendahulukan kelompok mereka sendiri.
F) Pemimpin makan suap (habuan) dan imbuhan yang berlebihan.
G) Pemimpin yang tidak mengikut langsung jejak pemerintahan Rasulullah.
Mengapa wahai khalayak pembaca? Kerana semua ciri untuk pemimpin di atas hanya akan menghancurkan kita rakyat.
Mungkin kita simpulkan semua itu dengan senarai atau set soalan survei. Sekarang apa kata kita menggunakan parameter di atas untuk menilai pentadbiran baharu yang menebuk atap mandat rakyat setahun lalu. Khususnya kita dapat melihat atau merenung dengan penuh jenak bagaimana kita rakyat diperlakukan sepanjang pandemik Covid-19 ini.
Adakah anda rakyat dilayani dengan adil dan setara? Misalnya adakah mereka kelas pemerintah terlepas hukuman tetapi anda pula terdera? Apakah anda rakyat beroleh manfaat dan laba atau adakah kita telah diberi kebajikan? Misalnya di manakah bantuan yang dijanjikan untuk anak-anak anda demi melancarkan pendidikan mereka. Apakah anda beroleh kemakmuran dari kepimpinan sedia ada? Misalnya adakah anda tidak terkesan oleh kucar-kacir dan kehuru-haraan kepimpinan.
Adakah masalah dan isu yang terentang sedia ada selama ini telah pun selesai dengan perebutan kuasa? Misalnya adakah Mak Cik Kiah tidak lagi lapar. Apakah anda umat manusia di negara ini beroleh kemanusiaan yang kita dambai selama ini? Yang mana anda tidak perlu berkicauan di media sosial seperti di Facebook.
Set soalan di atas dapat menjelaskan betapa apakah kebaikan dari dewan makan Sheraton yang rakyat atau anda perolehi. Ada orang mendakwa mereka Islam, kita nilai mereka dengan Islam. Melainkan mereka punya set Islam yang lebih baik dari tawaran Ali, iaitu (katakan) Islam Sheraton. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.