`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, February 28, 2021

Kapal persiaran hampir karam di Langkawi, 4 kru selamat

 

Kapal persiaran ‘Epic Princess’ terlanggar batu berdekatan Pulau Lalang, di Langkawi lewat malam tadi. (Gambar Facebook Jabatan Laut Malaysia)

ALOR SETAR: Empat kru sebuah kapal persiaran terselamat apabila kapal itu hampir karam selepas terlanggar batu di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang dekat Langkawi, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, kapal persiaran “Epic Princess” sedang dalam perjalanan dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang ke Langkawi.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan daripada salah seorang kru kapal yang turut melibatkan kerjasama tentera laut, pasukan polis marin dan Jabatan Laut Malaysia.

“Kapten kapal berumur 42 tahun serta tiga kru kapal berumur antara 26 hingga 54 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan diselamatkan oleh kapal KM Tenggol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau kapal berkenaan kemudian ditunda ke Boustead Shipyard, Langkawi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mohd Zawawi mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memaklumkan destinasi kepada keluarga dan membawa bekalan makanan yang mencukupi sekiranya ingin melakukan aktiviti di laut.

“Kita juga akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan zon maritim Malaysia.

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan ke Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.