`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 20, 2021

Covid-19 ‘paksa’ pemandu teksi berhenti, serah permit

 

Bendahari Persatuan Kereta Sewa Kelantan Gabungan Barat Faizul Mustapa berkata pemandu teksi juga berdepan kesukaran untuk terus menanggung kos operasi tahunan termasuk lesen dan insurans kenderaan.

KOTA BHARU: Kemerosotan pendapatan termasuk ada yang terlalu kerap pulang dengan tangan kosong kerana ketiadaan penumpang sejak Mac tahun lepas, memaksa segelintir pemandu teksi di negeri ini berhenti dan menyerahkan permit teksi mereka.

Bendahari Persatuan Kereta Sewa Kelantan Gabungan Barat Faizul Mustapa, 60, berkata setakat ini hampir 30 daripada 300 ahli persatuan itu berbuat demikian disebabkan tidak dapat “bergerak” selain tidak mampu menanggung kos operasi.

“Kebanyakan yang berhenti ialah mereka di kawasan Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor dan kita jangka jika keadaan ini berterusan, lebih ramai akan menyusul,” katanya kepada pemberita pada Program Cakna Pemandu Kereta Sewa PPBM.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Mohamed Farid Mohamed Zawawi menyampaikan sumbangan baucar petrol bernilai RM50 kepada 21 pemandu teksi di daerah ini yang terjejas akibat Covid-19.

Barat Faizul Mustapa.

Menurut Faizul, pemandu teksi juga berdepan kesukaran untuk terus menanggung kos operasi tahunan termasuk lesen dan insurans kenderaan.

“Insurans perlindungan kereta juga perlu ditanggung pemandu teksi membabitkan jumlah antara RM800 hingga mencecah RM1,700, bergantung pada usia kereta selain lesen kereta dan perniagaan sebanyak RM300 bagi tempoh lima tahun.

“Kami merayu pihak berkaitan untuk tampil membantu ahli persatuan yang rata-rata hanya bergantung pada teksi sebagai sumber pendapatan selain turut berharap kerajaan dapat menimbang pengecualian bayaran lesen dan permit sepanjang tempoh sukar ini,” katanya.

Sementara itu, Ismail Kadir, 67, yang memandu teksi sejak 35 tahun lalu, berkata dia kini hanya mengharapkan wang pemberian anak untuk meneruskan kehidupan selepas hilang punca pendapatan sejak Mac lepas.

“Jika sebelum ini saya mampu peroleh sekitar RM40 sehari, namun sejak Mac, saya langsung tiada pendapatan kerana ketiadaan pelanggan sebelum ambil keputusan duduk di rumah sahaja, kerana jika keluar bekerja pun saya akan pulang dengan tangan kosong,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.